WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mempertimbangkan tindakan memaksa wartawan mendedahkan sumber yang membocorkan laporan risikan AS mengenai kesan sebenar serangan udara terhadap Iran baru-baru ini.
Dalam temu bual bersama Fox News, Trump menyatakan pentadbirannya mungkin akan mendakwa wartawan dan sumber tersebut jika mereka enggan bekerjasama.
Trump mempertahankan dakwaannya mengenai serangan udara pada 21 Jun lalu terhadap beberapa fasiliti penting Iran telah melumpuhkan program nuklear negara itu.
Katanya, serangan tersebut memusnahkan stok uranium diperkaya milik Iran walaupun Teheran mendakwa bahan tersebut sudah dipindahkan sebelum serangan berlaku.
Trump turut menolak penilaian risikan yang bocor menunjukkan serangan itu hanya memberi gangguan sementara terhadap pembangunan nuklear Iran sebagai berat sebelah dan tidak lengkap.
Laporan yang diedarkan dalam kalangan ahli Kongres dan pegawai risikan AS itu menyatakan kerosakan sebenar adalah jauh lebih kecil berbanding apa yang diumumkan oleh pentadbiran Trump.
Trump baru-baru ini menyasarkan CNN dan The New York Times dengan menyifatkan laporan mereka mengenai serangan terhadap Iran sebagai tidak patriotik dan mencadangkan kemungkinan tindakan undang-undang terhadap liputan tersebut.
Kedua-dua media itu sebelum ini melaporkan penilaian awal oleh Agensi Risikan Pertahanan (DIA) menunjukkan kejayaan serangan adalah terhad, hanya menangguhkan program nuklear Iran selama beberapa bulan dan tidak memusnahkannya sepenuhnya.
Akaun media sosial milik pemimpin Iran, Ayatollah Ali Khamenei menyindir Trump dengan menyatakan presiden itu terpaksa membesar-besarkan kejayaan untuk menutup kebenaran kerana serangan AS itu tidak memberi kesan besar.
Namun, Trump terus mempertahankan kenyataannya dan mendakwa serangan itu paling berjaya.










