PETALING JAYA: Perkhidmatan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Datuk Amar Abang Iskandar Abang Hashim wajar dilanjutkan.
Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, keputusan untuk tidak menyambung perkhidmatan bagi tempoh enam bulan lagi terhadap Tengku Maimun yang akan bersara wajib esok diikuti Abang Iskandar pada 2 Julai hanya akan mencetus kebimbangan terhadap kebebasan institusi kehakiman di negara ini.
Katanya, lima lagi Hakim Mahkamah Persekutuan juga akan bersara dalam tempoh enam bulan akan datang sekali gus negara akan berhadapan dengan kekosongan lebih separuh daripada keseluruhan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan dalam tempoh berkenaan.
Kata Ahli Parlimen Pandan itu, keadaan berkenaan pasti memberi kesan kepada perjalanan pentadbiran undang-undang di negara ini.
“Daripada tujuh hakim-hakim yang akan bersara ini, empat sebenarnya telah mendapat sambungan perkhidmatan enam bulan sebelum ini, iaitu Tan Sri Hasnah (Mohammed Hashim); Datuk Abdul Rahman (Sebli); Datuk Zabariah (Mohd. Yusof) dan Datuk Hanipah (Farikullah) Tun Tengku Maimun dan Tan Sri Abang Iskandar juga wajar diberikan sambungan perkhidmatan enam bulan, seperti mana hakim-hakim lain sebelum ini.
“Ia bukan bersifat politik, atau ingin mempolitikkan lantikan hakim (yang ada prosesnya sendiri), ia adalah satu perkara munasabah mengambil kira keadaan semasa. Sebarang masalah yang timbul dari kekosongan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan akan memberi kesan besar kepada perjalanan kes di semua mahkamah.
“Tambahan pula, jika sambungan perkhidmatan telah diberikan kepada hakim-hakim Mahkamah Persekutuan yang lain tetapi tidak kepada Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan, ini akan memburukkan polemik mengenai kebebasan institusi kehakiman yang sudah pun berlegar,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Rafizi sehubungan itu meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Awnar Ibrahim supaya tidak mengetepikan kebimbangan pengamal undang-undang hanya dengan beranggapan isu ini adalah serangan politik.
“Polemik ini bermula dengan kebimbangan pengamal undang-undang bahawa kepimpinan institusi kehakiman yang seterusnya akan bertukar kepada seorang yang dilantik terus ke Mahkamah Persekutuan.
“Dengan kekosongan lebih separuh daripada hakim-hakim kanan di Mahkamah Persekutuan, timbul persoalan adakah pelantikan terus itu adalah sebahagian daripada perancangan untuk melangkau senarai kekananan hakim-hakim sedia ada dan mengubah kepimpinan institusi kehakiman untuk tempoh lapan tahun akan datang,” katanya.
Katanya, polemik ini menjadi makin parah apabila timbul double standard dalam pelantikan-pelantikan lain termasuk apabila perkhidmatan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilanjutkan tiga kali berturut-turut dan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan tidak dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baharu.
“Sebagai Ahli Parlimen, adalah wajar untuk saya mengingatkan supaya polemik mengenai kebebasan institusi kehakiman ini ditangani sebaik mungkin, agar ia tidak diburukkan lagi,” katanya. – UTUSAN











