UNTUK sekian lama, pada setiap tahun sesudah pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), akan timbullah agitasi, iaitu rasa kecewa dan marah, tentang pengambilan ke Program Matrikulasi Malaysia (PMM). Ia datang daripada etnik bukan Melayu yang didapati sangat tidak berpuas hati dengan peruntukan kuota kecil pada PMM yang dibuka kepada mereka mulai 2005.
Dalam hal ini, kuota itu yang sebanyak 10 peratus kini dianggap masih sedikit.
Oleh itu, ia digesa kekadang dengan agak keras, untuk dinaikkan. Ini agar lebih ramai lepasan SPM bukan Melayu boleh diterima masuk ke dalam PMM.
Sehubungan ini, PMM yang dimulakan pada 1998 adalah hanya untuk lepasan SPM Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak. Ia antara tindakan afirmatif dalam bidang pendidikan tinggi di negara ini. PMM bermatlamat untuk mengimbangi nisbah pelajar Melayu-bukan Melayu dalam bidang sains dan teknologi, khususnya yang kritikal seperti perubatan dan kejuruteraan.
PMM tidak pun menjadi masalah sebelum dibuka untuk ikut mengambil lepasan SPM bukan Melayu. Ini kerana PMM difahami semua pihak sepenuhnya sebagai tindakan afirmatif, iaitu dasar sah untuk mengatasi jurang antara etnik di negara ini. Oleh itu, ia bukan pun isu, sekurang-kurangnya tidak diungkitkan secara terbuka dan dengan agresif pula oleh etnik bukan Melayu.
Kini ia berlainan sekali. Ini begitu agresif kebelakangan ini kerana etnik bukan Melayu mahu lebih ramai lepasan SPM Cina dan India yang keputusan mereka mahu juga dianggap sebagai amat cemerlang, dijaminkan tempat dalam PMM.
Sehubungan ini, seboleh-bolehnya semua lepasan SPM bukan Melayu mahu meneruskan pelajaran prauniversiti mereka dalam PMM. Dalam hal ini, mereka rata-ratanya tidak mahu mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Ini kerana selain PMM ditanggap sebagai lebih berprestij, ia juga lebih pendek dari segi tempoh pengajiannya.
PPM juga ditanggap sebagai lebih mudah untuk pelajar memperoleh markah 10 peratus yang diperuntuk pada bahagian kegiatan ko-kurikulum untuk kemasukan ke institusi pendidikan tinggi awam (IPTA). Ini kerana PMM didapati lebih tersusun kegiatannya untuk pelajar lebih berjaya pada bahagian ini berbanding dengan STPM. Seperkara lain ialah pengajian STPM didapati lebih rumit dari PMM. Ia hakikat untuk aliran sains, apabila kesemua lepasan SPM Melayu disalurkan ke dalam PMM. Ini kerana PMM yang lebih mudah itu akan lebih mampu diikuti dengan jayanya berbanding dengan STPM yang lebih rumit.
Apabila PMM aliran sains dibuka kepada lepasan SPM bukan Melayu, ia ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, iaitu gembira mendapat sesuatu yang sangat diinginkan. Dengan ini, ia juga ibarat kecil tapak tangan nyiru ditadahkan, iaitu sangat gembira dengan pemberian itu.
Oleh sebab sikap rakus etnik bukan Melayu, khususnya Cina, kuota yang bermula dengan lima peratus walaupun pada tindakan afirmatif untuk etnik Melayu sahaja, kini sudah menjadi 10 peratus. 10 peratus ini mahu pula diperluas untuk mengambil kesemua pelajar bukan Melayu yang hanya cemerlang-cemerlangan, tetapi mahu ikut dianggap sebagai amat cemerlang.
Dengan persetujuan kerajaan untuk berbuat demikian, ia sebenarnya memberi implikasi serius kepada pendidikan prauniversiti di negara ini.
Dengan ini, STPM aliran sains secara perbandingan dengan PMM, akan dipenuhi oleh lepasan SPM yang kurang cemerlang.
Ini akan menjadi stigma, iaitu tanda kelemahan kerana kurang cemerlang, yang tidak sepatutnya wujud. Ini kerana pelajar STPM aliran sains akan rata-ratanya dilihat sebagai kelompok kurang cemerlang yang tidak layak pun ke PMM.
Dengan STPM aliran sains yang boleh dikatakan kesemuanya terdiri daripada hanya pelajar bukan Melayu, ia sesungguhnya satu keadaan perkauman yang kita sendiri ciptakan. Ini bukan sahaja buruk sekali dari gambarannya, juga realiti pemisahan yang tidak sepatutnya wujud.
Selain ini, STPM juga dilihat sebagai mangsa penilaian dua darjat. Ia dilihat sebagai entiti yang kurang diingini, selain dikenakan peraturan yang boleh dianggap sebagai tidak adil berbanding dengan dasar pada PMM. Ini antaranya mengenai tempoh pengajian yang lebih lama dan kurikulum yang lebih rumit.
Untuk mengatasi semua ini yang tidak dapat dinafikan membebankan pelajar STPM, mengapa tidak hanya PMM dijadikan satu-satunya pendidikan prauniversiti di negara ini. Dengan ini, STPM dibubarkan.
Dengan cara ini, semua pihak akan berasa lebih gembira, malah gembira sekali. Ia kerana semua pihak sememangnya mendambakan PMM yang ditanggapi jauh lebih baik daripada STPM dari segenap segi.
PMM juga lebih disukai kerana menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar utama. Sesuatu yang sangat dialu-alukan. Ini berlainan dengan STPM yang bahasa pengantar utamanya adalah bahasa Melayu. Satu bahasa yang diragui keupayaannya dalam pendidikan oleh banyak pihak.
Lagipun, kurikulum PMM yang ditanggapi sebagai lebih mudah itu pasti mampu diikuti oleh semua lepasan SPM. Bukan hanya untuk yang cemerlang sahaja sehingga menjadikan PMM pengajian eksklusif, selain penuh dengan keistimewaan.
Dengan hanya PMM, kita bukan sahaja mempunyai satu piawai untuk semua. Ia juga merupakan proses sama untuk diikuti bagi mematuhi ukuran yang sama. Justeru, tidak akan timbul lagi pelbagai dakwaan tentang penilaian yang tidak adil kepada pelajar STPM.
Juga dengan PMM sahaja yang diambil oleh semua pelajar, sistem pendidikan prauniversiti kita memperlihat adanya integrasi yang utuh,
Ia berbeza sekali dengan keadaan sebelumnya yang tidak dapat dinafikan mempromosikan segregasi.
Ia terbukti dengan kesemua pelajar STPM aliran sains adalah bukan Melayu. Manakala PMM untuk aliran sains dan juga lain-lain rata- ratanya dipenuhi pelajar Melayu, walaupun dengan adanya kuota pelajar bukan Melayu.
Dengan adanya satu sistem pendidikan prauniversiti sebagai saluran utama, ia adalah satu-satunya cara kemasukan ke IPTA. Dengan ini, agitasi tahunan yang selalunya mencetuskan polemik penuh perselisihan, tidak akan berlaku lagi.
Dengan cara sebegini yang hanya memilih PMM, semua pelajar pendidikan prauniversiti kita bukan sahaja mempunyai kelebihan dan peluang yang sama antara satu dengan yang lain, untuk tujuan kemasukan IPTA. Ia juga berupa persaingan yang adil sekali.
Dengan ini, semua pelajar akan dinilai berdasarkan merit sama pada PMM yang mereka sama-sama ambil itu. Menerusi PMM sahaja, ia boleh menganjurkan keadilan kepada semua lepasan SPM. Ini dilakukan dengan mengatasi ketidakadilan pada STPM yang perlu diambil oleh mereka yang tidak berjaya memasuki PMM. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










