Majlis mewah Jeff Bezos undang protes penduduk Venice

Majlis mewah Jeff Bezos undang protes penduduk Venice

LAUREN Sanchez dan Jeff Bezos di majlis perkahwinan mereka di Venice, Itali.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

VENICE: Majlis perkahwinan mewah pengasas Amazon, Jeff Bezos dan personaliti televisyen, Lauren Sanchez yang melabuhkan tirai dengan acara gala utama penuh glamor di Venice turut mengundang protes besar-besaran oleh penduduk kota ikonik Itali itu. 

Sekumpulan penduduk tempatan berkumpul di jeti dan jambatan terkenal Rialto bagi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kehadiran pasangan kaya tersebut bersama ratusan tetamu kenamaan yang terdiri daripada selebriti terkenal dan hartawan.

Protes tersebut diketuai oleh pelbagai kumpulan aktivis alam sekitar dan penduduk yang gusar dengan isu pelancongan berlebihan yang menjejaskan keseimbangan kehidupan harian di bandar bersejarah itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Meskipun perancangan awal untuk menaiki buaya getah bagi menghalang laluan bot mewah tetamu Bezos dibatalkan, namun ratusan tetap berarak melalui kota itu dengan mesej Venice bukan taman hiburan untuk golongan elit.

Timbalan Datuk Bandar Venice, Simone Venturini membidas tindakan penunjuk perasaan sebagai narsisistik dan menegaskan majlis sebegitu adalah contoh pelancongan berkualiti tinggi yang diperlukan Venice.

“Kita bukan Iran. Bandar ini tidak boleh menghalang sesiapa untuk berkahwin. Tiada polis moral di sini,” katanya dengan sinis, sambil menyatakan harapan agar lebih ramai memilih Venice sebagai destinasi perkahwinan selepas ini.

Kerajaan bandar turut mengesahkan majlis utama pada malam tersebut dipindahkan ke lokasi lebih terpencil di Arsenale atas tujuan keselamatan.

Media Itali melabelkan majlis itu sebagai ‘perkahwinan tahun ini’, dengan ratusan selebriti ternama seperti Leonardo DiCaprio dan Kim Kardashian turut hadir memeriahkan acara.

Gaun pengantin Sanchez daripada renda putih rekaan Dolce & Gabbana yang diinspirasikan daripada busana Sophia Loren pada era 1950-an menjadi tumpuan, selain jamuan eksotik yang dihidangkan.

Walaupun majlis perkahwinan itu mampu menyuntik sehingga 30 juta euro (RM148 juta) kepada ekonomi tempatan, ia belum mampu menghapuskan kebimbangan utama warga Venice mengenai bandar mereka yang kini lebih mengutamakan pelancong daripada penduduk sendiri. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN