Malaysia yakin pertahan dominasi terjun Sukan SEA

Malaysia yakin pertahan dominasi terjun Sukan SEA

SHAHIDAN KASSIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia tetap yakin untuk mengekalkan penguasaan dalam sukan terjun meskipun hanya empat acara akan dipertandingkan pada Sukan SEA 2025 di Bangkok hujung tahun ini.

Presiden Persekutuan Renang Malaysia (MAS), Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, senarai atlet yang berpotensi meraih pingat emas telah dikenal pasti dan dimaklumkan kepada pihak berwajib.

“Kita sudah kenal pasti atlet kita yang dijangka boleh mendapat emas, demikian juga dalam sukan terjun.

“Tapi jumlah pingat tu saya tak boleh sebut, biar Menteri yang sebut,” kata Shahidan kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MAS di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil, kelmarin.

Dalam pada itu, walaupun acara terjun dikurangkan oleh tuan rumah, ia tidak menjejaskan keyakinan Malaysia yang sudah lama mendominasi disiplin berkenaan.

Shahidan menegaskan bahawa Malaysia sering menyapu bersih semua pingat emas dalam acara yang dipertandingkan pada temasya dwitahunan berkenaan.

“Terjun ini kita tahu Malaysia sering menguasainya. Dahulu masa saya jadi presiden, tuan rumah pertandingkan 11 acara dan kesemua menjadi milik Malaysia.

“Kita juga telah memenangi di peringkat Olimpik yang meraih perak dan juga gangsa. Jadi terjun ini kita akan terus berusaha untuk menguasai keadaan,” katanya.

Shahidan turut berkata, peningkatan jumlah atlet pelapis turut akan dipohon kepada Majlis Sukan Negara (MSN) bagi memastikan kesinambungan dominasi dalam sukan akuatik terutama renang dan terjun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×