BUDAPEST: Puluhan ribu penunjuk perasaan membanjiri ibu negara Hungary dalam perarakan yang asalnya bertemakan hak LGBTQ+ tetapi kemudiannya bertukar menjadi demonstrasi besar-besaran menentang kerajaan Perdana Menteri, Viktor Orban.
Walaupun pihak polis mengharamkan acara tersebut di bawah undang-undang baharu yang diluluskan Parlimen Hungary pada Mac lalu, perarakan tetap diteruskan dan menyaksikan dataran utama berhampiran dewan bandar Budapest dipenuhi orang ramai yang berarak menyeberangi Sungai Danube sambil mengibarkan bendera pelangi.
Sebahagian peserta turut mengenakan jubah berwarna-warni dan membawa sepanduk menyindir Orban serta menuntut hak kebebasan disamping turut memuatkan mesej lantang seperti ‘Tiada siapa yang benar-benar bebas selagi ada yang ditindas’.
Kerajaan Orban yang terkenal dengan dasar konservatif dan slogan ‘keluarga tradisional’ mempertahankan tindakan menyekat penganjuran acara berkaitan LGBTQ+, bertujuan melindungi generasi muda.
Meskipun Datuk Bandar Budapest, Gergely Karacsony, cuba mengisytiharkan acara itu sebagai program anjuran pihak majlis bandaraya bagi mengelak keperluan permit, pihak polis tetap melarang perarakan itu atas sebab ia melanggar undang-undang perlindungan kanak-kanak.
Orban turut mengingatkan mereka yang terlibat dalam penganjuran acara itu berdepan tindakan undang-undang.
Menteri Kehakiman Hungary, Bence Tuzson turut memberi amaran dalam surat kepada beberapa kedutaan asing, menganjurkan acara yang dilarang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun, manakala penyertaan diklasifikasikan sebagai kesalahan kecil.
Undang-undang kontroversi tersebut turut memberi kuasa kepada pihak berkuasa untuk menggunakan kamera pengecam wajah dan mengenakan denda ke atas peserta.
Walaupun larangan dan amaran keras dikeluarkan, perarakan tetap berjalan dalam keadaan aman di mana polis turut mengasingkan kumpulan kecil penunjuk perasaan haluan kanan yang cuba mencetuskan provokasi.
Menurut laporan portal tempatan seperti 444.hu dan Magyar Hang, lebih 100,000 orang hadir, termasuk pelajar, keluarga, dan penduduk luar bandar yang menyatakan ini adalah kali pertama mereka menyertai demonstrasi.
Pilihan raya umum Hungary dijangka berlangsung tahun hadapan dan buat pertama kali dalam tempoh 15 tahun, parti Fidesz pimpinan Orban dijangka berdepan cabaran sengit daripada parti baharu, Tisza yang diketuai pemimpin pembangkang, Peter Magyar.
Menurut satu tinjauan pendapat terbaru, Tisza kini mendahului Fidesz dengan jurang 15 mata, isyarat jelas kuasa politik Orban kini sedang dicabar dengan lebih hebat dari dalam negara. –AGENSI











