Negeri Sembilan sasar capai 50 peratus guna beg biodegradasi menjelang 2026

Negeri Sembilan sasar capai 50 peratus guna beg biodegradasi menjelang 2026

J. ARUL Kumar melakukan pemantauan pematuhan penggunaan beg biodegradasi dalam kalangan peniaga di Pasar Besar Seremban hari ini. - UTUSAN /NUR SHARIEZA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sekurang-kurangnya 50 peratus pematuhan penggunaan beg biodegradasi disasarkan dalam kalangan peniaga dan pasar raya seluruh Negeri Sembilan menjelang tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar berkata, setakat ini, sekitar 20 hingga 30 peratus peniaga di peringkat negeri telah mematuhi larangan penggunaan beg plastik pakai buang.

“Tempoh lebih dua tahun setengah telah diberikan untuk peniaga dan pasar raya membuat penyesuaian menerusi kempen yang dilaksanakan. 

“Sekarang masa untuk bertindak. Sekiranya gagal patuh, kompaun RM250 akan dikenakan,”ketika ditemui di Pasar Besar Seremban di sini hari ini. 

Arul Kumar berkata, lebih 200 notis amaran turut telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) sejak penguatkuasaan dimulakan. 

“Antara fokus utama kini adalah memastikan pasar raya besar dan syarikat korporat mematuhi peraturan sama seperti peniaga kecil.

“Kita tidak mahu wujud ketidakadilan. Kalau pasar-pasar boleh ikut peraturan, syarikat dan pasar raya besar juga harus patuh untuk beralih kepada penggunaan biodegradasi,” katanya lagi.

Menurutnya, walaupun penguatkuasaan sedang dipertingkatkan, namun kempen kesedaran larangan penggunaan beg plastik pakai buang tetap dilaksanakan.

Katanya, kerajaan negeri tidak bercadang untuk menarik balik larangan tersebut walaupun terdapat cabaran dalam pelaksanaannya.

“Larangan ini sudah bermula dan akan diteruskan. Kita tidak akan buat u-turn, lencemaran plastik perlu dibendung dan ini satu usaha jangka panjang yang mesti diteruskan demi kesejahteraan generasi akan datang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×