KUALA LUMPUR: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) buat pertama kali menganjurkan Karnival Rasa Asli Desa RISDA sebagai usaha memperkasa ekonomi desa.
Timbalan Menteri Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Rubiah Wang berkata, program yang berlangsung selama empat hari itu menyasarkan seramai 10,000 pengunjung dengan nilai jualan RM200,000.
Katanya, sasaran itu diletakkan melihat kepada penganjuran kali pertama karnival tersebut dan jumlah usahawan RISDA yang dibawa.
“Sebenarnya kita pertama kali, jadi kita letakkan sasaran yang rendah sedikit sebab kita sedang jalankan promosi.
“Kita hendak lihat dulu potensi kawasan pasaran dan penerimaan orang ramai. Insya-Allah akan datang kita akan sasarkan lebih banyak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Rasa Asli Desa RISDA, di sini hari ini.
Karnival tersebut berlangsung bermula 27 Jun hingga 30 Jun dengan membawakan sebanyak 28 usahawan terbaik mewakili 13 negeri seluruh negara.
Antara tarikan utama adalah RisSMart 24, sebuah jemana di bawah RISDA Agri Food Industries (RAFI) yang membawa konsep kedai serbaneka desa dengan keunikan sate wagyu dan tomyam bowl.
Dalam pada itu, Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib berkata, pihaknya juga menyasarkan penganjuran karnival itu pada skala lebih besar dengan anggaran penglibatan 100 usahawan.
Katanya, ia sebagai inisiatif mengetengahkan industri desa ke dalam pasaran kawasan-kawasan di bandar sekali gus memberi pengenalan kepada jenama RISDA.
“Kita mungkin akan menjelajah ke bandar. Ini masa untuk kita ‘mendesakan’ bandar. Ia bagus untuk jenama RISDA sebab orang tahu RISDA hanya dengan getah.
“Selepas ini kita sasarkan ke Putrajaya pula, kita nak buat jelajah food street RISDA. Perancangan dalam tahun ini melihat kepada kejayaan anjuran kali ini.
“Biasanya kalau skala berskala besar, kita bawakan 100 usahawan dengan program yang berlangsung selama seminggu,” katanya. – UTUSAN










