KUALA LUMPUR: Pelaksanaan caruman mandatori Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja bukan warganegara Malaysia dijangka menyumbang dana tambahan melebihi RM2.5 bilion setahun.
Ini berdasarkan jumlah pekerja asing berdaftar yang mencecah 2.5 juta orang.
Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad berkata, berdasarkan pengiraan kasar, potensi caruman pekerja asing dengan kadar dua peratus daripada gaji pekerja dan tiga peratus daripada majikan mampu memberikan pulangan besar kepada KWSP.
Katanya, pengiraan itu dibuat berdasarkan gaji minimum RM1,700 sebulan dan jumlah pekerja asing sah yang bekerja di negara ini.
“Jika mengambil kira caruman lima peratus (dua peratus pekerja dan tiga peratus majikan) daripada RM1,700 untuk 2.5 juta pekerja asing, jumlah yang boleh dijana hampir RM200 juta sebulan atau RM2.5 bilion setahun,” katanya kepada Utusan Malaysia.
KWSP akan melaksanakan caruman mandatori bagi pekerja bukan warganegara Malaysia bermula Oktober ini sebagai langkah memperkukuh perlindungan sosial dan menyokong amalan pekerjaan lebih adil selaras piawaian antarabangsa.
Bashir berkata, pelaksanaan dasar itu juga mampu menyumbang kepada pengurusan kewangan lebih teratur buat pekerja asing serta memberi dividen tahunan kepada mereka selaku pencarum.
“Pekerja asing lazimnya mengelak daripada sebarang potongan gaji kerana ingin membawa pulang pendapatan bersih yang tinggi. Namun dasar ini bukan bertujuan membebankan, sebaliknya menjamin pengurusan kewangan yang lebih cekap dan adil untuk jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata, satu mekanisme berkesan perlu diwujudkan agar pelaksanaan dasar itu tidak terhenti separuh jalan, seperti yang berlaku di beberapa negara.
Katanya, pelaksanaan itu hanya akan kekal sekiranya disokong dengan undang-undang kukuh yang mewajibkan caruman setiap bulan secara fleksibel tetapi tetap.
“Kerajaan dan KWSP perlu memastikan dasar ini termaktub dalam bentuk akta atau enakmen yang mewajibkan caruman KWSP oleh pekerja asing dan majikan tetapi pada kadar fleksibel yang sesuai bagi bukan warganegara.
“Pendekatan ini akan meningkatkan pematuhan serta menjadikan dasar tersebut lebih mampan untuk jangka masa panjang,” katanya.
Mengulas mengenai isu ekonomi gelap, Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan UiTM, Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, dasar itu berpotensi mengurangkan amalan tidak sah dalam penggajian pekerja asing sekiranya dilaksanakan dengan penguatkuasaan menyeluruh.
Katanya, pelaksanaan caruman mandatori KWSP mewajibkan setiap pekerja mempunyai rekod gaji sah, sekali gus menyukarkan majikan membayar gaji secara tunai tanpa rekod.
“Setiap pekerja perlu mempunyai rekod gaji sah. Ini membantu ketelusan kewangan, mengurangkan transaksi tunai tidak tercatat serta menggalakkan penggunaan perkhidmatan kewangan formal,” katanya.
Mohamad Idham berkata, sistem pemantauan pintar yang diselaraskan dengan data Jabatan Imigresen dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) wajar diwujudkan untuk meningkatkan keberkesanan dasar tersebut.
“Selain denda tegas kepada majikan yang ingkar, insentif cukai kepada majikan yang patuh juga boleh digalakkan. Kerjasama dengan negara asal pekerja bagi membolehkan pengeluaran dana di luar negara turut penting agar caruman ini tidak menjadi beban,” katanya. – UTUSAN











