KANGAR: Sejak kecil, Muhammad Helmi Khai Said Bakht Shah, 19, dan abangnya dibesarkan oleh nenek serta datuk mereka hanya dengan hasil menoreh getah.
Melihat pengorbanan nenek itu, Muhammad Helmi bertekad belajar bersungguh-sungguh bagi membuktikan dia mampu berjaya dalam pendidikan biarpun berdepan pelbagai ujian hidup sekali gus membantu mengubah nasib keluarga.
Dan dia berjaya membuktikannya apabila meraih keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 kelmarin dengan merekodkan keputusan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Sirajuddin di sini berkata, dia bersama abang dibesarkan oleh nenek sejak dari kecil selepas ibu bapa mereka berpisah.
“Nenek yang menjaga saya dan abang sejak dari kecil dan disebabkan itu saya berazam untuk belajar bersungguh-sungguh bagi membalas jasa nenek.,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Muhammad Helmi berkata, dia bercita-cita untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Sains Politik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
“Inilah cara saya membalas semua pengorbanan nenek dan ibu saudara yang banyak berkorban membesarkan saya dan abang sejak kecil,” katanya.
Sementara itu, nenek kepada Muhammad Helmi, Che Jah Mat Lazim, 74, berkata, abang Muhammad Helmi, juga hanya sempat bersekolah sehingga tingkatan tiga dan berhenti untuk bekerja dengan niat membantu keluarga termasuk menjual ayam gunting di Kangar.
“Saya dan arwah suami yang merupakan peneroka Felda Chuping menyara kehidupan dengan menoreh getah,” ujarnya. – UTUSAN










