Kembar pintar enggan berpisah

Kembar pintar enggan berpisah

AMIRA Bazilah Mohd. Arizan (kanan) dan kembarnya, Amira Basirah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Pasangan kembar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Sawa, di sini yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia(STPM), ingin menyambung pelajaran di institusi pe­ngajian tinggi yang sama kerana mereka belum pernah berpisah.

Amira Bazilah Mohd. Arizan,18, dan kembarnya, Amira Basirah yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 turut berkongsi cita-cita sama iaitu menjadi guru bagi mendidik anak bangsa.

Amira Bazilah berkata, dia dan kembarnya bukan sekadar sering melakukan aktiviti ha­rian bersama-sama tetapi saling menjadi ‘guru’ antara satu sama lain semasa belajar selain berkongsi pelbagai perkara.

“Kami tidak pernah berpisah, tentunya saya berharap agar ada rezeki untuk kami berdua sama-sama sambung belajar di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

“Pencapaian STPM diperoleh ini juga seolah-olah mengulang memori sewaktu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana ketika itu kami berdua mendapat keputusan yang sama.

“Saya dan kembar pernah dapat tawaran dalam bidang kejuruteraan awam di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) tetapi tolak kerana lebih berminat untuk masuk ke tingkatan enam,” katanya.

Amira Bazilah berkata, setiap hari mereka menunggang motosikal ke sekolah terletak kira-kira empat kilometer dari rumah dan belajar bersama-sama pula di rumah.

Selain tumpuan dalam kelas, mereka amalkan membaca surah al-Waqiah dan Yasin setiap hari selain solat sunat serta sentiasa berdoa.

“Selepas solat Isyak kami ­ulang kaji pelajaran sehingga lebih kurang pukul 12 tengah malam. Sekitar pukul 3 pagi, kami bangun tidur untuk belajar sehinggalah ke Subuh dan sete­rusnya bersiap-siap ke sekolah.

“Keputusan STPM ini hadiah istimewa buat ibu bapa, pengetua dan guru-guru yang sentiasa mendoa dan serta sokongan. Kejayaan ini juga hasil usaha, dorongan mereka,” katanya.

Kembar yang tinggal di Kampung Gondang, Marang ini me­rupakan anak ketiga serta keempat Mohd. Arizan Kasim,54, yang merupakan seorang pemandu bas dan suri rumah, Faridah Jemahat, 50. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×