WASHINGTON: Seorang nenek berusia 50 tahun dari Tennessee, Angela Lipps terpaksa meringkuk di dalam penjara selama lebih lima bulan selepas alat pengecaman wajah kecerdasan buatan (AI) tersilap mengenal pastinya sebagai pelaku jenayah di Fargo, Dakota Utara.
Lebih malang lagi, sebaik sahaja kesilapan itu disedari, beliau dibebaskan tanpa mempunyai wang atau pengangkutan untuk pulang, kira-kira 1,600 kilometer dari rumahnya.
Laporan mendedahkan Lipps terpaksa bergantung sepenuhnya kepada bantuan badan kebajikan untuk terbang pulang ke Tennessee.
Pihak polis di Fargo mengaku bahawa satu kesilapan telah berlaku. Namun, apabila ditanya sama ada jabatan itu akan memohon maaf secara rasmi, pegawai terlibat tidak memberikan jawapan yang pasti.
Lipps ditahan buat kali pertama di Tennessee pada 14 Julai lalu. Akibat penahanan yang tidak adil itu, beliau dilaporkan kehilangan rumah, kereta, malah anjing peliharaannya.
Kes ini bermula beberapa bulan lalu apabila beberapa siri penipuan bank berlaku di sekitar Fargo.
Pihak polis menggunakan alat AI untuk mengimbas rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dengan bergantung kepada teknologi pengecaman wajah agensi rakan kongsi mereka.
Perisian tersebut telah memadankan wajah suspek dengan wajah Lipps secara silap, walaupun beliau menetap di negeri lain dan tidak pernah menjejakkan kaki ke Dakota Utara.
Waran tangkap dikeluarkan dan Lipps ditahan di Tennessee ketika beliau sedang menjaga cucu-cucunya. Beliau menghabiskan masa lebih tiga bulan di penjara Tennessee sebelum diekstradisi ke Dakota Utara.
“Itu adalah kali pertama saya menaiki kapal terbang. Saya berasa sangat takut, letih dan terhina,” tulis Lipps di laman GoFundMe.
Keadilan hanya memihak kepadanya pada bulan Disember apabila peguam beliau mengemukakan rekod bank dan resit pembelian yang membuktikan Lipps berada di Tennessee untuk membeli barangan dapur serta minyak pada waktu jenayah tersebut berlaku di Dakota Utara. – AGENSI










