WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata, beliau percaya kemajuan besar sedang dicapai untuk menamatkan konflik antara Israel dan Hamas di Gaza.
“Saya fikir kemajuan besar sedang dicapai di Gaza, saya rasa ia disebabkan oleh serangan yang kami lakukan,” kata Trump, merujuk kepada serangan udara AS ke atas Iran yang menurutnya boleh memberi kesan positif terhadap situasi di Asia Barat.
Trump turut menegaskan serangan udara AS telah membawa kepada kemusnahan total terhadap keupayaan nuklear Iran dan melumpuhkan program atom negara itu selama berdekad-dekad.
Namun maklumat risikan AS menimbulkan keraguan terhadap tahap kerosakan yang berpunca daripada serangan udara tersebut, dengan menyatakan program nuklear Teheran hanya terjejas untuk beberapa bulan sahaja.
Sementara itu, seorang pegawai kanan Hamas, Taher al-Nunu memberitahu AFP, rundingan bagi gencatan senjata di Gaza antara Israel dan kumpulan pejuang Palestin itu semakin rancak dalam beberapa jam kebelakangan ini bersama negara-negara perantara.
“Komunikasi kami dengan saudara-saudara perantara di Mesir dan Qatar tidak pernah terhenti dan telah menjadi lebih intensif dalam beberapa jam lalu,” kata Taher sambil menambah kumpulan itu belum menerima sebarang cadangan baharu untuk menamatkan perang yang kini memasuki bulan ke-21.-AFP











