UK umum dana henti aktiviti perisik China

UK umum dana henti aktiviti perisik China

KEIR STARMER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: United Kingdom (UK) mendakwa aktiviti perisikan oleh China serta usaha untuk melemahkan demokrasi dan ekonomi Britain semakin meningkat sejak beberapa tahun lalu.

Menteri Luar, David Lammy, memaklumkan kepada Parlimen, pentadbiran baharu Parti Buruh akan melabur sebanyak 600 juta pound (RM3.46 bilion) dalam perkhidmatan perisikan negara sebagai respon terhadap ancaman tersebut.

Laporan tersebut merupakan hasil daripada audit hubungan UK-China yang diarahkan oleh Perdana Menteri, Keir Starmer selepas kemenangan besar beliau dalam pilihan raya umum pada Julai lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Meskipun laporan itu mencadangkan agar Britain terus mengadakan hubungan peringkat tinggi dengan China untuk tujuan perdagangan dan pelaburan, ia juga menegaskan keperluan membina ketahanan terhadap potensi ancaman dari gergasi Asia itu.

“Kami faham China merupakan ancaman yang canggih dan berterusan. Namun tidak berhubung langsung dengan China bukanlah satu pilihan.

“Seperti sekutu rapat kami, kami akan bekerjasama di mana boleh, dan akan menentang di mana perlu tanpa sekali-kali berkompromi terhadap keselamatan negara,” kata Lammy.

Starmer berikrar meneruskan hubungan yang konsisten dengan China selepas kerajaan Konservatif terdahulu mula mempromosi era keemasan kerjasama sebelum ia bertukar menjadi semakin tegang.

Starmer berharap pelaburan dari China dapat membantu beliau merealisasikan matlamat utama untuk merangsang semula ekonomi Britain.

Namun, perbezaan pendirian dalam isu Perang Ukraine-Russia, layanan Beijing terhadap etnik Uyghur, serta situasi di Hong Kong termasuk pemenjaraan tokoh media, Jimmy Lai kekal menjadi penghalang utama dalam usaha memulihkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Hubungan UK-Beijing turut dibayangi beberapa dakwaan pengintipan, termasuk tuduhan seorang ahli perniagaan China menggunakan hubungan dengan Putera Andrew untuk mengintip bagi pihak Parti Komunis China.

Kini, pentadbiran Starmer sedang mempertimbangkan sama ada akan meluluskan rancangan kontroversi China untuk membuka kedutaan terbesar mereka di UK di lokasi baharu di London.

Rancangan itu mendapat tentangan daripada penduduk, kumpulan hak asasi dan pengkritik China yang bimbang kemudahan tersebut akan digunakan untuk mengintip dan mengganggu aktivis serta penentang Beijing.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN