TEHERAN: Iran hari ini mengesahkan telah melaksanakan hukuman gantung terhadap tiga lelaki yang didapati bersalah mengintip bagi pihak Israel, sehari selepas gencatan senjata antara kedua-dua negara mula berkuat kuasa.
Menurut kenyataan kehakiman yang disiarkan media tempatan, ketiga-tiga individu berkenaan iaitu Idris Ali, Azad Shojai dan Rasoul Ahmad Rasoul dituduh cuba membawa masuk peralatan ke dalam negara bagi tujuan melancarkan pembunuhan terancang.
“Mereka ditahan dan dibicarakan atas dakwaan bekerjasama dengan rejim Zionis. Hukuman ke atas mereka telah dilaksanakan pagi ini melalui hukuman gantung,” kata kenyataan itu.
Kehakiman turut memaklumkan hukuman tersebut dilaksanakan di bandar Urmia, sebuah wilayah di barat laut Iran berhampiran sempadan dengan Turkiye.
Gambar ketiga-tiga lelaki dalam pakaian seragam penjara berwarna biru turut diedarkan kepada media.
Teheran secara berkala mengumumkan penangkapan dan pelaksanaan hukuman terhadap individu disyaki menjadi ejen perisik bagi agensi perisikan asing, khususnya Israel yang dianggap musuh utama republik Islam itu.
Selepas perang Iran-Israel tercetus pada 13 Jun lalu, pihak berkuasa Iran berikrar akan mengadakan perbicaraan pantas terhadap mana-mana individu yang ditangkap kerana disyaki bekerjasama dengan rejim Zionis.
Dalam tempoh beberapa hari sebelum ini, Iran turut melaksanakan hukuman mati terhadap beberapa lelaki yang didakwa sebagai ejen Mossad.
Menurut organisasi hak asasi antarabangsa seperti Amnesty International, Iran merupakan negara kedua tertinggi di dunia dalam pelaksanaan hukuman mati selepas China. – AGENSI










