KD Rajawali ‘mata dan telinga’ TLDM di udara - Utusan Malaysia

KD Rajawali ‘mata dan telinga’ TLDM di udara

TLDM akan mengadakan latihan selamat mangsa nahas helikopter di sekitar Manjung pada 4 dan 9 April ini. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pengoperasian Cawangan Udara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Rajawali bukanlah baharu. Malah ia telah melalui tempoh masa panjang iaitu kira-kira 32 tahun dengan penyertaan helikopter terpakai jenis Westland Wasp HAS Mk1 bekas kepunyaan Tentera Laut Diraja British (RN).

Biarpun bermula dengan helikopter yang telah berusia 20 tahun, namun pemilikannya di dalam Cawangan Udara TLDM ketika itu yang dinamakan Skuadron 499 umpama deposit apabila mencatat sejarah pertahanan maritim negara sekali gus menjadikan TLDM melangkah setapak ke hadapan berbanding negara-negara serantau.

Keputusan membeli enam helikopter ini yang dianggarkan berharga kira-kira RM600,000 sebuah pada masa itu sebenarnya telah melonjakkan Malaysia sebagai antara negara terkuat di rantau ini kerana memiliki unit udara.

Wasp HAS Mk1 memiliki ciri-ciri khusus bagi operasi anti kapal selam selain boleh melakukan penerbangan pada waktu malam serta memerlukan tempatan pendaratan yang kecil.

Bagi merintis penubuhan cabang kemahiran baharu ini, seramai 13 pegawai kumpulan pertama dipilih mengikuti kursus penerbangan helikopter pada tahun 1985 di Sekolah Penerbangan Tentera Udara Diraja Malaysia di Kluang, Johor dan daripada jumlah itu sembilan pegawai telah lulus untuk menerima sayap juruterbang.

Kerja-kerja pemasangan pesawat dilakukan di Pangkalan TLDM Lumut, Perak manakala juruterbang dan juruteknik diberi latihan penyesuaian oleh sembilan juruterbang RN sebelum Wasp mula terbang pada April 1988.

Pengoperasian helikopter ini pada masa itu menjadikan Malaysia sebagai negara ke-16 di dunia dan kedua di Asia Tenggara yang memiliki cawangan udara tentera laut. Dalam hal ini Thailand lebih mendahului kita.

Skuadron 499 dinamakan sebagai penghormatan kepada Panglima TLDM ketika itu, Laksamana Madya Datuk Sri Abdul Wahab Nawi yang mempunyai nombor tentera yang sama.

Keputusan kepimpinan TLDM pada masa itu untuk membeli helikopter terpakai tidaklah membazir, sebaliknya Wasp HAS Mk1 merintis pemodenan TLDM menjelang tahun 2000 untuk membiasakan warganya dengan operasi corak operasi udara maritim.

Skuadron 499 membantu armada TLDM menjalankan operasi peperangan anti kapal selam, menangkis peperangan permukaan, menangkis peluru berpandu dan operasi mencari serta menyelamat.

Penubuhan Cawangan Udara TLDM ini merupakan satu bidang melibatkan teknologi pertahanan udara yang tinggi serta memerlukan pengendalian serta penyelenggaraan yang terperinci terutama sekali penglibatan juruterbang dan juruteknik yang terlatih dan berdedikasi.

Dengan kelahiran Skuadron 499 ini, Cawangan Udara TLDM menjadi simbol kemegahan angkatan laut itu untuk memperkukuhkan benteng samudera. Pada 11 Mei 1990, Cawangan Udara TLDM ini ditauliahkan secara rasmi dengan nama KD Rajawali.

Selepas lebih 10 tahun menabur bakti sejak tahun 1988, kesemua helikopter Wasp HAS Mk1 ini dilucutkan tauliah pada tahun 2001 apabila aset-aset lebih moden iaitu Westland Super Lynx Mk100 dan AS 555 SN Fennec digunakan.

Penggunaan dua jenis aset udara ini juga telah meletakkan TLDM sebagai satu-satunya pasukan yang mengendalikan pesawat helikopter paling moden dalam cabang Angkatan Tentera Malaysia.

Pesawat Super Lynx Mk100 mula digunakan pada 3 Mac 2003 dengan peranan utama bagi operasi anti kapal selam, peperangan anti permukaan, peninjauan dan membantu misi penembakan peluru berpandu ke sasaran melepasi ufuk.

Helikopter pertama Fennec pula diterima pada 30 Mac 2004 diikuti bakinya secara berperingkat-peringkat dengan pesawat terakhir pada April tahun tersebut yang dioperasikan oleh Skuadron ke-502.

Sehingga kini, Fennec telah terlibat dalam beratus misi penerbangan selain pelbagai eksesais termasuk dalam Op Fajar bagi mengawal pelayaran kapal-kapal dagang di Teluk Aden.

Antaranya kejayaan bersama Paskal mematahkan rampasan kapal dagang MT Bunga Laurel oleh lanun Somalia pada 2011.

Pengoperasian helikopter Super Lynx telah menggandakan keupayaan tempur armada TLDM.

PENGIKTIRAFAN

Adalah sangat membanggakan kerana pengoperasian selama 32 tahun Cawangan Udara TLDM ini telah mencatatkan kejayaan tersendiri berjaya mengekalkan sifar kemalangan sepanjang tempoh tersebut.

Perkara itu juga bukan sesuatu yang biasa, justeru meletakkan TLDM sebagai satu-satunya agensi kerajaan yang memiliki pesawat udara termasuk syarikat swasta di negara ini yang berjaya mengekalkan rekod tersebut.

Ia melibatkan semua empat jenis helikopter yang pernah dan sedang dioperasikan iaitu Wasp HAS MK1, AS 355 Squirrel, Super Lynx Mk100 dan AS 555 SN Fennec dengan jumlah jam penerbangan terkumpul kira-kira 50,000 jam.

Selain itu pada peringkat antarabangsa, TLDM turut menerima pengiktirafan daripada pengeluar pesawat bagi pencapaian 10,000 jam penerbangan selamat pesawat Super Lynx Mk 100 manakala 20,000 jam penerbangan selamat pesawat AS 555 SN Fennec.

Berdasarkan pencapaian cemerlang ini, TLDM amat menghargai jasa dan khidmat cemerlang warga Cawangan Udara TLDM khususnya tulang belakang yang melibatkan kru senggaraan di pangkalan.

Sehubungan itu sebagai tanda penghargaan, Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Mohd. Reza Mohd. Sany menyempurnakan pemakaian Lencana Kepakaran Kejuruteraan Udara TLDM kepada pegawai jurutera udara (PJU) dan juruteknik pesawat (JP) yang layak sempena sambutan Hari TLDM ke-87 baru-baru ini.

Seramai enam penerima Lencana Kepakaran Kejuruteraan Udara melibatkan PJU dan JP yang diketuai Kapten Ir. Ahmad Fahmi Jahaya yang juga jurutera udara kanan TLDM.

Mohd. Reza Mohd. Sany (kanan) menyerahkan plak Lencana Kepakaran Kejuruteraan Udara TLDM kepada Ahmad Sharifuddin Abu Bakar sebagai simbolik pengiktirafan.

Selebihnya, pemakaian lencana bagi 11 orang PJU dan 132 orang JP disempurnakan oleh Panglima Udara TLDM, Laksamana Pertama Ahmad Shafirudin Abu Bakar.

Kecemerlangan Cawangan Udara TLDM itu wajar dijadikan pembakar semangat serta motivasi kepada warga TLDM yang lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×