Saya pernah ditawar sogokan untuk tunduk - Syed Saddiq

Saya pernah ditawar sogokan untuk tunduk – Syed Saddiq

SYED SADDIQ Syed Abdul Rahman dipeluk ibunya selepas mahkamah melepas dan membebaskan beliau daripada hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta bagi empat pertuduhan berkaitan dana Armada di Istana Kehakiman, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: “Saya pernah digertak, pernah diugut, malah ditawar sogokan supaya tunduk. Tapi saya pilih untuk lawan. Saya percaya, kalau kita di pihak benar, Allah akan buka jalan.”

Demikian kata Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika mengulas mengenai kes berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) yang dihadapinya selepas Mahkamah Rayuan hari ini membebaskan beliau daripada empat pertuduhan.

Ahli Parlimen Muar itu berkata, ketika masuk dalam mahkamah, beliau sudah bersedia untuk apa-apa keputusan.

“Saya tahu saya berhak tetapi lima tahun ini sangat mencabar. Ada pihak cuba calar integriti saya. Ibu saya sampai ‘relaps’ kanser kerana tekanan.

“Saya tolak jalan mudah kerana saya yakin hanya mahkamah mampu bersihkan nama saya. Saya sayang negara ini lebih dari kehidupan saya.

“Saya tidak berdendam walau terhadap musuh politik sendiri. Saya tidak mahu mereka lalui apa yang saya lalui,” katanya di sidang akhbar disini, hari ini.

Syed Saddiq juga menegaskan bahawa keputusan melepaskan jawatan Presiden Parti Muda sebelum ini adalah kerana prinsip moral, bukan tekanan mana-mana pihak.

“Dalam politik Malaysia, kita perlukan pemimpin yang ‘whiter than white’. Saya letak jawatan kerana saya fikir itu perkara yang betul dan bermaruah. Saya akan kekal berkhidmat untuk rakyat dan negara,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau turut membuat permintaan agar diberikan sedikit masa berehat bersama keluarga.

“Saya mungkin nampak kuat, tapi hanya Tuhan tahu apa saya dan keluarga lalui. Saya perlukan sedikit masa untuk bersama keluarga, selepas lima tahun ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×