Anwar pertahan kebebasan bersuara mahasiswa UMS

Anwar pertahan kebebasan bersuara mahasiswa UMS

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menyalahkan tindakan sekumpulan mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang membakar karikatur menyerupai dirinya di Kota Kinabalu, Ahad lalu.

Sebagai bekas aktivis mahasiswa dan reformis, beliau akan sentiasa mempertahankan kebebasan bersuara seperti termaktub dalam Perlembagaan.

Katanya, insiden itu mengin­gatkan tentang betapa besar harapan rakyat agar rasuah di­banteras sehingga ke akar umbi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Anwar sendiri muncul daripada gerakan mahasiswa dan pernah memimpin gerakan reformasi di jalanan. Beliau benar-benar memahami suara itu dan pernah menjadi saksi kritikan walau sepedas mana, adalah sebahagian penting dalam meraikan demokrasi.

“Beliau menitipkan pesan, se­mangat pembaharuan bermula dengan keberanian anak muda menyuarakan kebenaran berlandaskan fakta dan niat yang tulus.

“Di pihak kerajaan, komitmen reformasi kekal teguh, sedang dan telah diterjemahkan ke dalam tindakan nyata. Komitmen reformasi ini tidak akan terhenti setakat ini dan terus diperhalusi untuk dilaksanakan dengan berstruktur,” katanya menerusi taklimat ha­rian rasmi dalam platform media sosial, semalam.

Taklimat itu disampaikan oleh Setiausaha Akhbar Ka­nan Perdana Menteri, Tunku Na­shrul Abaidah.

Ahad lalu, kumpulan aktivis pelajar, Suara Mahasiswa UMS bertindak membakar karikatur mirip Anwar semasa perhimpunan Gempur Rasuah Sabah 2.0 di Kota Kinabalu.

Selaras pendekatan Kerajaan Madani yang mengutamakan nilai ihsan, Anwar turut menga­rahkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan UMS agar tidak menyekat perjalanan akademik pelajar terlibat.

“Masa depan anak muda ti­dak harus terkorban dalam arus perbezaan pandangan.

“Demi generasi akan datang, Kerajaan Madani akan terus me­napak di landasan reformasi bagi memastikan setiap usaha memerangi rasuah diterjemah ke arah kesejahteraan dan kemakmuran buat seluruh rak­yat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Tunku Nashrul memaklumkan kesihatan Anwar berada dalam keadaan sangat baik selepas menjalani pemeriksaan kesihatan tahunan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, Sabtu lalu.

“Alhamdulillah, tahap kesihatan beliau dalam keadaan sangat baik dan dapat meneruskan tugasan rasmi seperti biasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini