KOTA KINABALU: Penubuhan Jawatankuasa Komuniti Desa Madani (JKDM) bukan untuk bersaing dengan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di peringkat negeri.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebaliknya kedua-dua entiti itu bergerak seiring.
Sehubungan itu beliau menepis dakwaan penubuhan kononnya JKDM adalah suatu inisiatif politik yang bertembung dengan JPKK negeri seperti di Sabah.
“JKDM tidak diwujudkan untuk menggugat atau merampas ruang kuasa sesiapa. Kalau JPKK itu mata yang melihat, JKDM ialah tangan yang bertindak.
“Yang penting, kedua-duanya bergerak seiring demi menyantuni 3.7 juta rakyat Sabah,” katanya pada majlis penutup Konvensyen Pemerkasaan Kepimpinan Luar Bandar Madani 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini semalam.
Ahmad Zahid kesal dengan tindakan sesetengah individu yang menjadikan JKDM sebagai alat retorik untuk menabur curiga, dan lebih menyedihkan apabila ada yang termakan dengan hasutan sebegini.
Daripada bermain politik, beliau menggesa pihak terbabit memberi fokus kepada membina masa depan dan sosioekonomi rakyat Sabah, sambil menyoal mengapa ia harus ditolak jika membawa manfaat kepada rakyat.
Terdahulu Ahmad Zahid berkata, KKDW telah berjaya melantik seramai 2,302 anggota JKDM di Sabah, iaitu mencecah lebih 80 peratus daripada sasaran 2,853 anggota keseluruhan.
Bagi Fasa 1 tahun 2025 sahaja, sebanyak RM11 juta diperuntukkan khusus untuk elaun dan gerak kerja JKDM Sabah.
Sementara itu katanya, UMNO menyerahkan kepercayaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah yang dikatakan terlibat dalam kes suapan pelesenan lombong mineral di negeri ini.
Ahmad Zahid berkata, beliau percaya SPRM bukan hanya melakukan siasatan malah mempunyai bukti dan saksi yang berkredibiliti.untuk membuat pendakwaan.
“Kalau ada dua perkara itu, maka pertuduhan boleh dilakukan. Kami memberikan kepercayaan kepada mereka.
“Dan kalau seseorang itu mempunyai saksi dan bukti untuk menolak pihak pendakwaan, maka mereka boleh bersihkan nama mereka,” katanya.
Semalam media melaporkan SPRM menahan seorang lagi ADUN di negeri ini kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM150,000 membabitkan isu pengeluaran lesen cari gali di negeri itu. – UTUSAN











