Bila udara jadi racun, siapa yang akan bertanggungjawab?

Bila udara jadi racun, siapa yang akan bertanggungjawab?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UDARA yang kita hirup di Malaysia semakin tercemar dan malangnya, ia bukan sekadar kiasan.

Di sebalik setiap pesakit asma, setiap alat nebulizer di klinik dan setiap katil hospital yang menempatkan kanak-kanak dengan jangkitan paru-paru, wujud jaringan besar kecuaian alam sekitar, kelemahan penguatkuasaan dasar dan kegagalan sistem untuk melindungi keperluan asas manusia iaitu udara bersih.

Penyakit berkaitan pernafasan semakin meningkat di Malaysia. Jerebu seakan menjadi ‘musim’ yang diterima dengan pasrah, seolah-olah ia sebahagian daripada kitaran cuaca tahunan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kita mungkin sudah biasa dengan musim jerebu dan pencemaran udara tetapi pelanduk melupakan jerat, tetapi jerat tidak melupakan pelanduk. Bahayanya tetap menanti setiap tahun. Namun, walaupun berkali-kali kita mengalami kualiti udara yang tidak sihat, kesungguhan politik untuk menyelesaikan punca sebenar khususnya pencemaran merentas sempadan kekal lemah dan mengecewakan.

Masalah ini bukan sesuatu yang baharu. Selama beberapa dekad, model pembangunan ekonomi negara lebih mengutamakan keuntungan jangka pendek berbanding kelestarian alam sekitar.

Banyak komuniti yang tinggal berhampiran kawasan perindustrian atau lebuh raya, menyedut udara yang penuh zarah halus berbahaya. Syarikat bahan api fosil masih mempunyai pengaruh besar terhadap dasar awam. Lebih membimbangkan, kesihatan rakyat terus dikorbankan demi laba ekonomi segelintir pihak.

Namun, pencemaran udara bukan sekadar isu alam sekitar ia merupakan krisis kesihatan awam. Seperti biasa, golongan berpendapatan rendah paling terkesan. Ada yang terpaksa tinggal berdekatan kilang, lebuh raya atau ladang kelapa sawit – kawasan yang sering mencatatkan bacaan kualiti udara rendah.

Jika golongan berada mampu membeli penapis udara atau mendapatkan rawatan kesihatan swasta, ramai lagi rakyat Malaysia yang terpaksa menanggung kesan fizikal, emosi dan kewangan tanpa banyak pilihan.

Di peringkat global, pencemaran udara menelan kos berbilion ringgit setiap tahun akibat rawatan perubatan, kehilangan produktiviti dan kematian pramatang. Malaysia juga tidak terkecuali daripada statistik itu.

Satu aspek penting yang sering diabaikan adalah peranan lautan dalam kehidupan. Lebih separuh oksigen yang kita hirup sebenarnya dihasilkan oleh fitoplankton di laut, bukan semata-mata daripada pokok dan hutan.

Malangnya, pemanasan laut, pencemaran dan pembangunan pesisir pantai demi keuntungan memusnahkan banyak ekosistem laut yang penting ini. Kita terlalu menumpukan perhatian kepada hutan di daratan hingga terlupa akan ‘hutan’ di bawah laut yang turut menyumbang kepada oksigen dunia.

Kini, Malaysia berada di persimpangan penting. Tahun ini, kita memegang kepengerusian ASEAN, satu peluang besar untuk mengetuai suara serantau dalam isu-isu alam sekitar. Sebagai negara maritim dengan beribu kilometer pesisir pantai, kita bukan sekadar pemegang taruh, sepatutnya menjadi penjaga utama ekosistem serantau ini.

Baru-baru ini, Persidangan Lautan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Nice, Perancis berakhir dengan seruan tegas oleh Setiausaha Agungnya, Antonio Guterres: “Lautan dunia semakin terancam dan ia adalah tanggungjawab bersama untuk melindunginya.”

LANGKAH DRASTIK
Malaysia mesti mengambil peluang ini untuk membuktikan kepimpinan, bukan sekadar dengan penyertaan, tetapi mendesak pelaksanaan dasar yang benar-benar melindungi laut, pesisir dan udara. Kita tidak perlukan lagi ucapan gah tanpa tindakan susulan.

Di peringkat domestik, Malaysia kini sedang memuktamadkan Pelan Tindakan Udara Bersih Kebangsaan (NCAAP) 2025-2040, sebuah kerangka penting untuk memperbaiki kualiti udara negara. Namun, pelan sebegini tidak boleh kekal sebagai dokumen semata-mata. Ia mesti diterjemahkan kepada tindakan tegas, dengan penguatkuasaan yang telus, hukuman yang setimpal terhadap pelanggar undang-undang dan yang paling penting data pencemaran serta impak kesihatan mesti diumumkan secara terbuka kepada orang ramai.

Kita juga perlu lebih tegas dalam pelaksanaan perjanjian serantau seperti Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan. Ia tidak boleh terus menjadi sekadar simbol diplomatik tetapi mesti menjadi alat tadbir urus alam sekitar yang berkesan.

Tidak kurang penting, agensi kesihatan, saintis alam sekitar dan perancang bandar perlu bekerjasama lebih erat. Masalah pencemaran udara tidak boleh dilihat secara terpisah daripada perancangan bandar, dasar perindustrian atau kos penjagaan kesihatan. Semuanya saling berkait dan penyelesaiannya juga mesti bersifat menyeluruh.

Ini juga adalah isu kanak-kanak. Kualiti udara yang buruk boleh menjejaskan perkembangan paru-paru mereka,meningkatkan risiko asma dan meninggalkan kesan jangka panjang terhadap kesihatan. Tidak adil jika lokasi tempat tinggal menjadi penentu kepada tahap kesihatan paru-paru anak-anak kita.

Udara bersih adalah hak asasi manusia dan menjaga hak ini adalah tanggungjawab kerajaan kepada rakyatnya. Jika terus melengahkan tindakan, kita sebenarnya sedang menggadaikan kesihatan generasi masa hadapan negara.

PENULIS ialah Aktivis Belia Alam Sekitar, Ahli Panel Konsultasi Perubahan Iklim, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam dan pelajar Ijazah Kedoktoran, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini