Perkukuh hubungan ayah dan anak

Perkukuh hubungan ayah dan anak

TINJAUAN mendapati sembilan daripada 10 bapa mengakui bahawa menjadi seorang ayah pada masa kini jauh lebih mencabar berbanding zaman dahulu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LEMBAGA Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Sarawak telah menganjurkan Kem Kapten Keluarga bersempena Sambutan Hari Bapa Tahun 2025 bagi memperkukuh hubungan antara ayah dan anak lelaki.

Program ini merupakan inisiatif penting untuk memberi ruang dan peluang kepada golongan bapa membina hubungan yang lebih erat dan bermakna dengan anak lelaki dalam suasana santai dan menyeronokkan.

Ayah kini perlu mendidik anak bukan sahaja tentang dunia nyata, tetapi juga tentang keselamatan siber, buli siber, penipuan dalam talian dan etika digital. Keperluan untuk mendidik anak menjadi warganet yang bertanggungjawab dan berakhlak sangat penting dan ini juga terkandung dalam Modul

Peka dan Kasih Keibubapaan Digital yang dilaksanakan oleh LPPKN.

Dalam era moden yang serba mencabar ini, peranan sebagai seorang bapa turut menuntut penglibatan emosi, intelektual dan sosial yang mendalam.

Menerusi Tinjauan Pendapat Umum Bersempena Sambutan Hari Bapa 2024, didapati bahawa sembilan daripada 10 bapa mengakui bahawa menjadi seorang ayah pada masa kini jauh lebih mencabar berbanding zaman dahulu.

Cabaran utama yang dihadapi oleh para bapa ialah kos sara hidup yang tinggi iaitu 84.4 peratus diikuti masalah keseimbangan antara kerja dengan kehidupan sebanyak 72.9 peratus. Selaras dengan tema “Ayahku Kapten Keluarga”, pengaruh seorang ayah amat besar terutamanya kepada anak lelaki yang cenderung memerhati, meneladani dan meniru setiap tingkah laku ayah mereka. Daripada tutur kata hingga ke cara menyantuni tanggungjawab, keperibadian seorang ayah menjadi cerminan awal kepada makna kepimpinan, kasih sayang, dan amanah dalam keluarga.

Ini bagi memupuk komunikasi yang lebih terbuka antara ayah dan anak lelaki serta memperkukuh ikatan kekeluargaan. – UTUSAN

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
KEMENTERIAN PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×