NEWARK: Aktivis pro-Palestin Mahmoud Khalil yang baru-baru ini dibebaskan daripada pusat tahanan imigresen Amerika Syarikat (AS) berikrar akan meneruskan perjuangannya mempertahankan hak rakyat Palestin meskipun berdepan risiko penahanan atau pengusiran semula oleh pentadbiran Presiden Donald Trump.
Khalil, 30, disambut dengan sorakan dan laungan kegembiraan oleh rakan-rakan dan penyokongnya sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Newark Liberty, New Jersey pada petang Sabtu. Beliau turut disambut isterinya, seorang warganegara AS serta Ahli Kongres AS dari New York, Alexandria Ocasio-Cortez.
“Bukan saja jika mereka ugut saya dengan tahanan, bahkan jika mereka hendak membunuh saya sekalipun, saya tetap akan bersuara untuk Palestin.
“Saya hanya mahu kembali menyambung kerja saya, memperjuangkan hak rakyat Palestin, satu bentuk kebebasan bersuara yang sepatutnya diraikan, bukan dihukum,” katanya.
Khalil yang baru menamatkan pengajian di Columbia University, Manhattan merupakan tokoh utama dalam gerakan mahasiswa pro-Palestin yang mendapat perhatian nasional tahun lalu.
Beliau ditahan oleh ejen imigresen persekutuan pada 8 Mac lalu di lobi bangunan kediamannya, menjadikannya individu pertama yang disasarkan oleh pentadbiran Trump dalam usaha mengusir pelajar antarabangsa yang menyuarakan pandangan pro-Palestin atau anti-Israel.
Ocasio-Cortez dalam ucapannya di lapangan terbang menyelar tindakan kerajaan sebagai satu bentuk penganiayaan berasaskan pandangan politik.
Awal Jun, Hakim Daerah AS Michael Farbiarz memutuskan bahawa kerajaan tidak boleh menahan atau mengusir Khalil hanya berdasarkan penilaian Senator Marco Rubio yang menyokong pengusiran tersebut sambil menyatakan bahawa tindakan pentadbiran Trump itu melanggar hak perlembagaan Khalil terhadap kebebasan bersuara.
Pada Jumaat, hakim mengarahkan Khalil dibebaskan dengan jaminan sementara beliau meneruskan prosiding mencabar usaha pengusiran oleh kerajaan serta tuntutan saman yang difailkannya atas dakwaan penahanan salah.-AGENSI










