Remaja ditikam abang kandung dibenarkan keluar hospital

Remaja ditikam abang kandung dibenarkan keluar hospital

HALYJAH Muhammad ketika ditemui pemberita di Kampung Perigi Hang Tuah, Duyong, Melaka hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pelajar tingkatan satu yang parah akibat ditikam abang kandungnya dalam kejadian pembunuhan tragis di Bukit Rambai pada minggu lalu, telah dibenarkan keluar dari Hospital Melaka pagi semalam dan kini berada dalam jagaan bapa saudaranya.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Halyjah Muhammad berkata, remaja lelaki itu sudah pulih daripada kecederaan dan keadaannya stabil sepanjang menerima rawatan sejak 12 Jun lalu.

Katanya, pemantauan pegawai kebajikan dan kaunseling mendapati mangsa tidak mengalami trauma serius dan menunjukkan perkembangan positif sepanjang dirawat.

“Remaja itu dibenarkan keluar dari hospital pada pukul 8 pagi semalam dan  sepanjang tempoh rawatan, dia dijaga oleh waris terdekat dan selepas pertemuan, kami berpuas hati dengan komitmen waris untuk menjaganya selepas ini.

“Mangsa kini berada di bawah jagaan bapa saudaranya di Petaling Jaya, Selangor yang akan menguruskan hal persekolahan dan kebajikan harian,” katanya ketika ditemui di sini.

Sementara itu, Halyjah berkata, pihaknya turut menziarahi remaja lelaki berusia 17 tahun yang merupakan abang kepada mangsa dan kini ditahan atas pertuduhan membunuh.

Menurut beliau, suspek berada dalam keadaan stabil daripada segi emosi dan fizikal serta ditempatkan di lokap berasingan daripada tahanan dewasa.

Pada Rabu lalu, suspek dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas tuduhan membunuh ibu dan abang kandungnya masing-masing berusia 51 dan 21 tahun, serta menyebabkan kecederaan parah terhadap adik bongsunya dalam kejadian di kediaman mereka di Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai, 12 Jun lalu.

Siasatan awal polis mendapati motif kejadian dipercayai berpunca daripada tekanan perasaan dan dendam kerana suspek sering dipaksa belajar bagi memperoleh keputusan cemerlang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×