Lantang kritik kerajaan, bekas Presiden Tunisia dipenjara 22 tahun

Lantang kritik kerajaan, bekas Presiden Tunisia dipenjara 22 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUNIS: Sebuah mahkamah di Tunisia semalam menjatuhkan hukuman penjara 22 tahun ke atas bekas Presiden, Moncef Marzouki, atas pertuduhan menggugat keselamatan negara.

Tindakan itu mencetuskan kebimbangan pembangkang berhubung tindakan keras yang semakin meningkat terhadap pengkritik kerajaan.

Marzouki, yang memegang jawatan Presiden Tunisia dari 2011 hingga 2014, merupakan individu yang lantang mengkritik terhadap Presiden Kais Saied.

Beliau menuduh Saied menubuhkan rejim autoritarian selepas membubarkan Parlimen dan memerintah melalui dekri sejak beliau merampas hampir semua kuasa pada 2021.

Namun, Saied mempertahankan tindakannya sebagai langkah perlu untuk menstabilkan Tunisia.

Ini merupakan hukuman ketiga terhadap Marzouki, selepas mahkamah sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan empat tahun dalam beberapa kes berasingan.

“Saya ingin berkata kepada para hakim ini, hukuman kamu tidak sah, dan kamu juga tidak sah, kamu akan diadili tidak lama lagi,” katanya dalam reaksi terhadap keputusan mahkamah dari tempat pengasingannya di Paris.

“Demokrasi akan kembali,” tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang lagi tokoh pembangkang, pegawai kanan parti pembangkang utama Ennahda, Sahbi Atig dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun atas tuduhan pengubahan wang haram, menurut peguamnya.

Hukuman itu dilihat lebih ringan berbanding beberapa hukuman lain, baru-baru ini.

Pada April lalu, beberapa pemimpin pembangkang, ahli perniagaan dan peguam dijatuhi hukuman penjara sehingga 66 tahun atas dakwaan konspirasi.

Kini, kebanyakan pemimpin politik Tunisia berada dalam penjara, termasuk Ketua Parti Perlembagaan Bebas Abir Moussi dan ketua parti Ennahda, Rached Ghannouchi, dua tokoh pembangkang paling menonjol menentang Presiden Saied.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×