KUALA LANGAT: Pengalaman memilih, memetik dan menimbang buah rock melon kini menjadi antara tarikan utama produk agropelancongan di Ladang Satelit Pusat Kecemerlangan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat.
Program itu bukan sahaja membolehkan pengunjung merasai sendiri keenakan buah rock melon jenis malah berpeluang melihat proses penanaman dan penjagaannya secara profesional.
Pengerusi PPK Kuala Langat, Dr. Abdul Razak Khasbullah berkata, inisiatif itu mampu memberi impak positif kepada ekonomi petani dan menjadi sumber pendapatan baharu jika dilaksanakan secara berterusan dengan kerjasama pelbagai pihak.
“Pengunjung bebas memilih buah mengikut saiz dan bentuk diingini.
“Walaupun mengambil masa, namun pengalaman ini sangat menyeronokkan lebih-lebih lagi dilakukan bersama keluarga atau rakan-rakan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Program julung kali itu melibatkan tanaman rock melon sejak mula diusahakan lapan tahun lalu di ladang seluas dua hektar itu.
Sebelum ini, PPK pernah menganjurkan program sama melibatkan buah tin di Bukit Changgang.
Pengusaha rock melon, Mohamad Ahda Mohamad Aman, 28, berkata, program berkenaan bukan sahaja mempromosikan hasil pertanian tempatan, tetapi turut memberi peluang generasi muda merasai pengalaman menjadi petani.
“Idea ini lahir hasil perbincangan dengan pihak PPK, dalam menarik minat anak muda lebih dekat dengan dunia pertanian. Ia juga mengubah persepsi bahawa kerja di ladang tidak membosankan,” katanya.-UTUSAN.











