KETIKA rakan seusianya berlumba-lumba melakukan rawatan estetik dan mengambil suplemen kecantikan, namun remaja cacat penglihatan ini memilih cara tradisional.
Nasya Azrin Zol Azizan, 23, selesa bertungku bagi merawat tubuh yang keletihan, lesu dan sering diserang senggugut.
Malah, dia turut mengamalkan air kunyit dan herba tradisional buatan ibu serta neneknya sebagai tonik harian kesihatan dalaman.
Walaupun masih muda tetapi petua-petua orang lama sudah sebati dalam dirinya sejak di bangku sekolah lagi.
“Saya amalkan petua orang lama seawal usia 15 tahun sebab selalu tengok emak dan nenek bertungku dan buat jus kunyit.
“Daripada situ, saya belajar dan jatuh cinta dengan petua tradisional lebih-lebih lagi apabila saya mula faham manfaatnya untuk kesihatan wanita,” katanya baru-baru ini.

Bagi Nasya Azrin, amalan itu bukan sekadar rutin, tetapi sudah menjadi sebahagian daripada hobi dan gaya hidupnya.
Dia pernah mengalami senggugut teruk hingga tidak mampu bangun dari katil setiap kali datang bulan.
Namun, sejak mengamalkan bertungku secara konsisten dan mendapatkan urutan rahim tradisional, kesakitannya semakin berkurangan.
Kini, kitaran haidnya lebih teratur dan ringan.
“Bagi wanita bujang yang mengalami situasi sama, jangan tunggu sehingga sakit baru mahu cari tukang urut atau mula bertungku.
“Sayangilah tubuh kita dari awal, sebelum terlambat,” nasihatnya.
Rutin lain yang diamalkan anak sulung daripada tiga beradik ini ialah tidur dan bangun awal serta urutan limfatik tradisional.
Dia juga menggosok badan dengan campuran daun herba dan garam bukit untuk membuang angin serta aura negatif dari tubuh.
Bahan-bahan itu kebanyakannya dihasilkan sendiri di dapur rumahnya hasil tunjuk ajar daripada ibu dan nenek.
“Walaupun amalan ini nampak kecil, tetapi kesannya sangat besar terutama dari segi tenaga, emosi dan kesihatan dalaman wanita,” katanya yang hilang penglihatan ketika berusia lima bulan akibat kecuaian pengasuh.

Pulih semula tubuh
Sebagai wanita, Nasya Azrin percaya pentingnya menjaga kesihatan luaran dan dalaman secara semula jadi.
Katanya, tubuh manusia dianugerahkan sistem penyembuhan semula jadi.
Justeru, petua-petua tradisional sebenarnya membantu tubuh pulih semula tanpa bergantung
kepada ubatan moden yang mengandungi bahan kimia.
Lebih bermakna, kepercayaan itu hadir daripada pengalaman pahitnya sendiri.
“Saya pernah mengalami trauma akibat rawatan mata moden yang meninggalkan kesan sensitif.
“Akibatnya, setahun saya muntah-muntah setiap kali makan,” katanya.
Sejak itu, dia nekad memilih pendekatan semula jadi.
Baginya, kenapa perlu bergantung kepada bahan sintetik, sedangkan alam memiliki herba dan teknik penyembuhan yang terbukti sejak turun-temurun.
“Urut, tungku dan herba lebih mesra badan serta menyembuhkan dari dalam,” katanya.

‘Doktor kampung’ di spa
Walaupun penglihatannya terbatas, namun Nasha Azrin bertuah kerana dianugerahkan bakat mengurut.
Malah, dalam kalangan keluarga dan jiran tetangga, dia digelar sebagai ‘doktor kampung’.
“Daripada emak, ayah, adik, sampai ke saudara-mara, rakan-rakan dan jiran-jiran, kalau ada yang rasa lenguh, pening, masuk angin atau demam urat, sayalah orang pertama yang mereka cari.
“Saya mungkin tiada mata untuk melihat, tetapi Allah bagi tangan yang mampu memberi keselesaan dan kelegaan kepada orang lain,” katanya.
Bagi mengasah minat dan bakat dimiliki, Nasya Azrin menyertai kursus urutan di bawah Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang ditawarkan Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB).
Dia turut mengikuti latihan urutan selepas bersalin dan penjagaan ibu berpantang.
Kemahiran itu dimanfaatkannya dengan menawarkan perkhidmatan spa dan urutan di rumahnya di Taman Sentosa Mekar di Teras Jernang, Bangi sejak setahun lalu.
Ia bukan sekadar premis urut, tetapi pusat pemulihan tradisional wanita moden.

Keberanian untuk mengusahakan perniagaan kecil-kecilan itu hasil dorongan ibu bapanya, Rohayati Mat Adam, 43, dan Zol Azizan Yahya, 48, selain pengalaman kerjanya sebelum ini.
“Siapa sangka, daripada sekadar hobi mewarisi petua orang lama, kini menjadi sumber pendapatan utama saya.
“Walaupun kerjaya ini sinonim dengan OKU penglihatan, saya tidak pernah menganggapnya sebagai satu kelemahan.
“Saya percaya setiap individu memiliki kelebihan tersendiri dan saya mahu membuktikan yang golongan seperti saya juga mampu berdikari serta berjaya dalam bidang urutan,” katanya yang meraih pendapatan kira-kira RM3,000 sebulan.
Di samping itu, dia turut menjual produk garam bukit, mandian bunga, daun teh senna di bawah jenamanya.
Sebagai perancangan masa depan, Nasya Azrin mengimpikan untuk membuka spa yang lebih lengkap sekali gus dapat menyediakan peluang pekerjaan buat rakan-rakan senasibnya.

Pesakit strok sihat selepas tiga bulan
Para pelanggannya terdiri daripada pelbagai lapisan usia, latar belakang dan tahap kesakitan.
Namun, antara pengalaman paling menyentuh hatinya ialah ketika merawat seorang warga emas yang menderita strok separuh badan.
“Selepas tiga bulan sesi urutan dibuat, alhamdulillah pesakit itu boleh bangun dan berjalan semula.
“Urutan untuk pesakit strok tidak boleh dibuat semberono kerana melibatkan banyak titik saraf penting yang perlu dirangsang secara perlahan dan berhati-hati,” katanya.
Sepanjang berkhidmat sebagai tukang urut, Nasya Azrin turut menyedari empat masalah kesihatan yang sering dialami wanita iaitu sakit pinggang, gangguan tidur, kerap menahan kencing dan resdung.
Justeru, kaedah urutan sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan amat membantu bagi melegakan setiap masalah itu sekali gus melancarkan peredaran darah serta menyokong kesihatan dalaman yang menyeluruh.
“Badan kita macam kereta dan perlu sentiasa ‘diservis’. Bagi yang ada masalah kesihatan, digalakkan untuk mengurut tiga kali dalam sebulan,” katanya yang juga gemar memasak.










