TRAGEDI demi tragedi melibatkan kemalangan bas ekspres seolah-olah sudah menjadi rutin menyayat hati di negara ini.
Terbaharu, kemalangan meragut nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di laluan berbahaya Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) menggemparkan negara sekali lagi.
Kemalangan yang berlaku pada 9 Jun lalu mengorbankan 15 pelajar UPSI. Bahkan kemalangan awal pagi itu turut mengakibatkan 33 cedera termasuk pemandu, kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang Perodua Alza.
Rakyat bertanya, sampai bila? Sudah berpuluh tahun jalan ini tersenarai sebagai antara ‘jalan maut’ di Malaysia, namun penambahbaikan yang konkrit masih belum kelihatan.
Sebagai badan pemantau integriti dan ketelusan, Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) melihat isu ini bukan sekadar kegagalan teknikal atau kecuaian individu tetapi refleksi kegagalan sistemik dan pengabaian reformasi oleh pihak berkaitan. Ini termasuk kelemahan penguatkuasaan, ketakutan terhadap pengusaha besar dan penolakan berterusan terhadap cadangan penambahbaikan yang telah dikemukakan sejak lebih sedekad lalu.
SABOTAJ CADANGAN REFORMASI
Sebenarnya pelbagai cadangan bernas untuk memperkukuhkan pengurusan dan keselamatan pengangkutan awam berat pernah diketengahkan. Namun sayangnya, kebanyakannya ditolak atau disabotaj oleh pengusaha industri bas ekspres. Antara cadangan yang diketepikan:
– Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dalam bas, bukan sahaja bagi tujuan keselamatan penumpang tetapi juga sebagai bukti penting dalam kes kemalangan.
– Pengharaman tayar celup yang terbukti menjadi faktor risiko dalam kenderaan berat.
– Latihan bertaraf diploma untuk pemandu bas, dengan silibus merangkumi keselamatan, etika dan psikologi.
– Sistem had laju automatik seperti yang diguna pakai di banyak negara maju.
– Peranti sistem kedudukan global (GPS) yang dipantau secara langsung oleh pusat kawalan, membolehkan pemantauan kelajuan dan lokasi secara masa nyata.
– Pemeriksaan kenderaan secara berkala (setiap 3 hingga 4 bulan), yang hanya boleh dilakukan oleh badan bebas, bukannya laporan dalaman pengusaha.
KEMBALIKAN SPAD ATAU BENTUK ENTITI BAHARU
MCW menyokong cadangan untuk mengembalikan semula Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) atau mewujudkan entiti baharu yang mempunyai kuasa mutlak dalam pemantauan pengangkutan awam berat. Entiti ini mestilah bebas, tidak tunduk pengaruh industri dan diberi kuasa untuk mengaudit, menggantung lesen syarikat atau pemandu yang cuai.
KAD PEMANDU PINTAR
Satu lagi komponen penting ialah pelaksanaan kad pemandu pintar, yang merekod kesihatan, latar belakang jenayah, waktu kerja dan sejarah pemanduan. Kad ini perlu dikaitkan dengan sistem digital pemantauan dan hanya pemandu yang lulus saringan fizikal, mental dan rekod keselamatan dibenarkan memandu.
Gaji pemandu mesti diberi perhatian. Sistem bayaran berdasarkan trip menjadikan pemandu sanggup memandu dalam keadaan tidak cukup rehat. Justeru, gaji tetap dan had waktu pemanduan wajib dilaksanakan, seperti amalan antarabangsa.
HUKUMAN TEGAS
MCW mendesak agar semua kenderaan awam berat dipantau pihak ketiga bebas dari aspek teknikal, rekod servis hingga ke pematuhan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan. Syarikat yang gagal mesti disenarai hitam dan dikenakan tindakan undang-undang.
Dalam kes kemalangan yang menyebabkan kematian, siasatan forensik wajib dijalankan serta-merta. Pemandu mesti ditahan untuk siasatan awal dan syarikat pengendali bertanggungjawab menyediakan dokumen lengkap kenderaan dan rekod pemandu.
MCW juga menyarankan penguatkuasaan diperkasa agar kes seumpama ini dibawa ke mahkamah dengan cepat dan jika terbukti cuai perlu dikenakan hukuman berat termasuk penjara dan pembatalan lesen dipraktikkan tanpa kompromi.
TANGGUNGJAWAB KERAJAAN
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke digesa melihat perkara ini bukan sebagai isu pengangkutan semata-mata tetapi sebagai nyawa dan amanah rakyat. Jika industri bas ekspres masih beroperasi dalam ruang longgar, dengan perlindungan dan kekebalan daripada audit awam, maka kerajaan gagal menjalankan tanggungjawabnya.
Kerajaan perlu menunjukkan keberanian politik untuk menentang tekanan pengusaha dan memihak kepada rakyat. Tidak cukup sekadar melawat tempat kejadian atau mengarahkan siasatan, sedangkan puluhan laporan dan cadangan telah pun ada sejak 10 hingga 15 tahun lalu.
MCW percaya, tragedi tidak akan berhenti selagi sistem sedia ada tidak dirombak. Kita tidak boleh terus biarkan ‘harga tiket murah’ atau ‘kos operasi rendah’ menjadi alasan untuk membenarkan kenderaan uzur, tayar rosak dan pemandu tidak kompeten terus membawa nyawa rakyat di atas jalan raya.
Reformasi ini wajib. Jika gagal bertindak sekarang bermakna kita sedang bersubahat dalam tragedi yang bakal berulang.-UTUSAN
PENULIS ialah Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW).










