Rakyat Kemboja sokong tindakan kerajaan tangani isu sempadan

Rakyat Kemboja sokong tindakan kerajaan tangani isu sempadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PHNOM PENH: Puluhan ribu rakyat Kemboja membanjiri jalan-jalan utama di ibu negara bagi menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Hun Manet, susulan pertikaian sempadan dengan Thailand yang semakin memuncak.

Perhimpunan besar-besaran, yang dinamakan sebagai ‘Perarakan Solidariti’, turut disertai oleh Timbalan Perdana Menteri, Hun Many yang juga adik bongsu kepada Hun Manet.

Orang ramai mengibarkan bendera kebangsaan serta membawa potret Hun Manet dan bekas Perdana Menteri, Hun Sen, berarak dari Dataran Merdeka menuju ke Tugu Kemerdekaan di tengah bandar raya Phnom Penh.

Tindakan ini dilihat sebagai manifestasi sokongan rakyat terhadap ketegasan kerajaan dalam mempertahankan kedaulatan wilayah negara, khususnya di kawasan Segitiga Zamrud yang terletak berhampiran sempadan tiga negara iaitu Kemboja, Thailand dan Laos.

Ketegangan tercetus apabila seorang anggota tentera Kemboja terbunuh dalam insiden tembakan yang berlaku pada 28 Mei lalu.

Kedua-dua pihak iaitu Thailand dan Kemboja mendakwa hanya bertindak mempertahankan diri.

Susulan insiden itu, Kemboja bertindak membawa isu berkenaan ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bagi menyelesaikan pertikaian secara aman membabitkan empat kawasan termasuk tiga kuil purba.

Hun Manet dalam kenyataannya semalam, menegaskan tindakan membawa isu itu ke ICJ adalah langkah terbaik bagi mengelakkan ketegangan berlanjutan.

“Langkah ini diambil demi mengekalkan keamanan dan kerjasama baik antara kedua-dua negara jiran,” katanya.

Pertikaian sempadan antara kedua-dua negara bukan perkara baharu, malah telah berakar umbi sejak era penjajahan Perancis ke atas Indochina pada awal abad ke-20.

Kemboja sebelum ini pernah membawa kes berkaitan kuil Preah Vihear ke ICJ pada tahun 1962 dan mahkamah memutuskan kuil itu milik Kemboja bagaimanapun, Thailand tidak mengiktiraf bidang kuasa mahkamah tersebut.— AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×