KUALA LUMPUR: Pemodenan dan urbanisasi yang pesat menjadi antara punca utama perubahan drastik dalam pola pemakanan rakyat Malaysia, sekali gus menyumbang kepada peningkatan mendadak penyakit tidak berjangkit (NCD).
Penasihat Penyelidikan di Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Prof. Jomo Kwame Sundaram berkata, perubahan gaya hidup moden menyebabkan makanan segar seperti ulam dan sayur-sayuran jarang muncul dalam hidangan harian, terutama dalam kalangan penduduk bandar.
Beliau turut memberi contoh perubahan ketara dalam kalangan masyarakat Cina yang dahulunya mengamalkan tabiat pemakanan lebih sihat.
“Makanan segar seperti ulam, sayur kampung dan hasil tempatan semakin jarang dalam hidangan harian, terutama di bandar.
“Dahulu mereka minum teh tanpa gula, tetapi sekarang minuman boba dan teh manis menjadi kegilaan. Ini mencerminkan peralihan budaya makan yang semakin tidak sihat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam pembentangannya bertajuk ‘Hidup Lebih Lama: Adaka Malaysia Bersedia Menghadapi Cabaran Akan Datang’ di Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2025, hari ini.
Mengulas lanjut, Jomo berkata, perubahan itu tidak boleh dipandang ringan kerana ia memberi kesan besar kepada tahap kesihatan awam, terutama dalam jangka panjang.
Beliau turut berkongsi pengamatannya ketika mengunjungi Jakarta, Indonesia, baru-baru ini, yang boleh dijadikan contoh baik dalam usaha pencegahan awal terhadap penyakit seperti diabetes.
“Saya dapati satu amalan yang menarik kerana di banyak tempat, minuman disediakan tanpa gula secara biasa.
“Ini langkah kecil tetapi sangat signifikan dalam menangani diabetes, yang merupakan antara pembunuh utama di Malaysia,” katanya.
Beliau berpendapat, perkara kecil seperti ini mampu membawa perubahan besar jika dilaksanakan secara konsisten.
Katanya, isu kesihatan dan penuaan tidak boleh dibebankan kepada satu kementerian sahaja, sebaliknya perlu dilihat sebagai tanggungjawab bersama.
“Kita perlukan pendekatan menyeluruh merentas kementerian, dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk pendidikan, kesihatan, pembangunan sosial dan ekonomi bagi memastikan setiap rakyat, terutama warga emas dapat hidup dengan sihat,” katanya.
Tambah beliau, kemajuan kesihatan negara tidak dinikmati secara sama rata oleh semua rakyat, apabila wujud jurang berdasarkan gender, etnik dan status sosioekonomi.
Katanya, pembaharuan dalam program pemakanan, kesedaran awam dan dasar antara kementerian perlu dilaksanakan segera agar Malaysia tidak terperangkap dalam krisis kesihatan awam lebih besar pada masa hadapan. – UTUSAN










