Naim Daniel tidak mengaku bersalah lakukan amang seksual

Naim Daniel tidak mengaku bersalah lakukan amang seksual

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penyanyi dan pelakon, Naim Daniel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun, pertengahan bulan lalu. 

Naim atau nama sebenarnya Muhammad Na’im Daniel Baharin, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Datin M. Kunasundary dalam prosiding yang dilakukan secara tertutup.

Mengikut pertuduhan, Naim didakwa melakukan amang seksual terhadap remaja perempuan itu pada pukul 8.56 malam di sebuah hotel di Jalan Harapan, Petaling Jaya, Selangor, 19 Mei lalu. 

Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan. 

Semasa prosiding, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Izzah Shaharuddin manakala Naim diwakili peguam-peguam bela, Mohd. Irwan Sumadi dan Amirul Ridzuan Hanif.

Mahkamah kemudian membenarkan Naim Daniel diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai. 

Mahkamah turut menetapkan 18 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, selebriti itu ditahan pada 3 Jun lalu selepas disyaki melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun. Dia bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangannya.

Media sebelum ini melaporkan selebriti berkenaan disiasat susulan polis menerima laporan daripada ibu remaja itu pada 3 Jun lalu, mendakwa bahawa anak perempuannya menjadi mangsa gangguan seksual selepas mengenali suspek di sebuah kafe tempat gadis terbabit bekerja. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×