PETALING JAYA: Pencapaian Malaysia dalam Laporan Penarafan Daya Saing Dunia (WCR) 2025 mampu meletakkan Malaysia dalam kelompok ekonomi paling berdaya saing menjelang 2033 demi masa depan yang lebih cerah.
Kedudukan terbaharu itu sekali gus mengukuhkan halatuju negara untuk tersenarai dalam kelompok 12 ekonomi paling berdaya saing dunia sebelum 2033, seperti disasarkan dalam Kerangka Ekonomi Madani.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian Malaysia dalam WCR 2025 menunjukkan segala usaha reformasi dilaksanakan oleh Kerajaan Madani sedang membuahkan hasil.
Katanya, prestasi memberangsangkan dalam perdagangan, kecekapan pentadbiran dan persekitaran pelaburan menjadi asas kukuh kepada kemajuan ekonomi yang inklusif dan mampan.
Menurut Anwar, kejayaan itu membuktikan Malaysia mampu melonjak jauh dengan tekad politik, iltizam seluruh jentera kerajaan dan kerjasama erat sektor swasta.
“Prestasi memberangsangkan dalam perdagangan, kecekapan pentadbiran dan persekitaran pelaburan menjadi asas kukuh kepada kemajuan ekonomi yang inklusif dan mampan.
“Pencapaian ini milik semua rakyat Malaysia. Ia adalah antara asas penting dalam perjalanan kita untuk meletakkan negara ini dalam kelompok ekonomi paling berdaya saing menjelang 2033 demi masa depan yang lebih cerah untuk anak-anak kita,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz memaklumkan Malaysia mencatatkan lonjakan 11 anak tangga dalam laporan WCR 2025.
Ia meletakkan Malaysia di kedudukan ke-23 daripada 69 ekonomi berbanding tempat ke-34 tahun lepas, menjadikannya pencapaian terbaik negara sejak 2020.
Katanya, kedudukan keseluruhan itu dipacu oleh peningkatan dalam tiga faktor utama iaitu Prestasi Ekonomi, Kecekapan Kerajaan dan Kecekapan Perniagaan.
Laporan WCR diterbitkan setiap tahun oleh Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) yang berpangkalan di Switzerland bagi menilai keupayaan sesebuah negara mewujud dan mengekalkan persekitaran mesra perniagaan.-UTUSAN











