Basikal trek masuk sekolah cari bakat baharu 

Basikal trek masuk sekolah cari bakat baharu 

JOHN BEASLEY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengarah teknikal berbasikal kebangsaan, John Beasley menyasarkan pencarian atlet berpotensi luar biasa bagi diketengahkan ke temasya Sukan Olimpik Brisbane 2032 dan mungkin juga bagi edisi 2036.

Kata Beasley, pihaknya akan menjalin kerjasama dengan universiti terkemuka untuk turun ke sekolah dan mencari bakat luar biasa sebelum melatih mereka menjadi pelumba elit.

“Kami sedang merancang projek menarik untuk mengenal pasti mereka yang memiliki kelebihan fizikal semula jadi yang luar biasa dan kemudian ajar mereka menunggang basikal.

“Tak banyak bakat dalam kalangan negeri yang aktif dengan program berbasikal, jadi kami perlu melihat di luar kelompok sedia ada, cari dan bawa masuk,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pendedahan itu hadir selepas pelapis negara mempamerkan pencapaian memberangsangkan pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Nilai,  Februari lalu sekali gus membuka harapan lebih besar untuk pengisian atlet berbakat ke Olimpik akan datang.

Antaranya ialah Sawda Hasbullah, yang bukan sahaja menang dua emas bagi kategori remaja menerusi acara pecut dan ujian masa 1 kilometer (km) malah mencipta rekod dunia baharu dengan catatan ujian masa itu dengan catatan 1:10.818 saat (s).

“Kita tak nak terburu-buru, Sawda terlalu muda untuk diserap bersama pelumba senior sekarang tapi dia pasti dalam perancangan ke Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028 dan terutamanya Brisbane 2032.

“Bagi pelumba wanita muda, perjalanan mereka panjang. Jadi kita akan ambil langkah perlahan, sokong mereka dari semua aspek dan tengok sejauh mana mereka boleh pergi,” katanya.

Beasley juga percaya gabungan pelapis seperti Nur Umairah Qhaisara Zulfikha Razak, Nurul Akhma Atiqah Ahmed Haizan serta senior seperti Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, Anis Amira Rosidi dan Nurul Aliana Syafika Azizan bakal membawa Malaysia ke landasan lebih kompetitif untuk acara pecut berpasukan wanita. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×