Ibu nasihat Razarudin tidak sambung kontrak KPN

Ibu nasihat Razarudin tidak sambung kontrak KPN

RAZARUDIN Husain bergambar bersama ibu dan ahli keluarganya pada Program Keharmonian Masyarakat Kampung Angkat Madani 2025 Ketua Polis Negara di Kompleks Institut Pengakuan Tasawuf di Kampung Parit Seberang, Kuala Pilah semalam. – UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan akan menyerahkan jawatan Ketua Polis Negara (KPN) itu kepada penggantinya pada 20 Jun ini.

Beliau berkata, keputusan itu juga bagi menghormati ‘hajat’ ibunya supaya beliau tidak menyambung kontrak bagi jawatan tersebut.

Menurut beliau, hajat ibunya, Rahmah Ab Rahman, 86, itu juga sudah disampaikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menteri berkaitan.

“Ini program terakhir saya, insya-Allah kalau tiada ada aral, 20 Jun ini serah terima tugas dan paluan berundur akan berlaku. Pertama sekali saya kena beritahu sebenarnya, ibu saya pun ada hadir hari ini dan dia pun cakap kalau boleh jangan sambung-sambung lagi.

“Sepatutnya saya habis kontrak memang tidak perlu sambung lah. Apabila ibu saya berhasrat macam itu, saya akur, saya pun sudah 62 tahun, hidup sudah lama dengan dia (ibu), sebutan daripada mulut dia itu sebagai satu doa.

“Saya tidak berani ingkar dengan apa yang dikehendaki ibu saya. Ibu saya punya wish (hajat) itu pun saya sampaikan kepada PM (Perdana Menteri) dan menteri tidak perlu saya hendak sambung, perlu ada pengganti untuk saya, cukup untuk saya dua tahun,” katanya selepas menghadiri Program Keharmonian Masyarakat Kampung Angkat Madani 2025 Ketua Polis Negara di Kompleks Institut Pengakuan Tasawuf di Kampung Parit Seberang, di sini semalam.

Mengenai harapan kepada kepemimpinan baharu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Razarudin berkata, perkara itu akan dikongsikan pada Majlis Serah Terima Tugas minggu hadapan.

Terdahulu, dalam ucapannya, beliau menyatakan Program Kampung Angkat Madani merupakan suatu pendekatan menyentuh denyut nadi rakyat bagi melengkapi keperluan asas dan infrastruktur setiap kampung terpilih.

Katanya, pemilihan ber­kenaan dibuat berdasarkan pe­nilaian tahap kemudahan di bawah 50 peratus atau prasarana tidak lengkap serta memerlukan perhatian khusus.

“Sejumlah RM1 juta diperuntukkan bagi membiayai keseluruhan inisiatif menaik taraf kampung ini.

“Selain merapatkan jurang kemudahan asas antara desa dan bandar secara holistik, program ini menyediakan perkhidmatan kemasyarakatan terbaik melalui kolaborasi kementerian, jabatan, agensi dan universiti awam,” katanya.

Antara projek dicadangkan untuk penambahbaikan adalah pembaikan bangunan, lanskap, jalan raya, balai raya dan pagar sekeliling Surau Kampung Parit Seberang serta pemasangan 20 unit lampu solar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×