Tan Sri, Datuk jadi ‘Kingpin’ terbesar sindiket edar dadah - Utusan Malaysia

Tan Sri, Datuk jadi ‘Kingpin’ terbesar sindiket edar dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Buka syarikat secara sah namun di sebalik perniagaan yang dijalankan terdapat aktiviti haram iaitu pengedaran dadah.

Syarikat diterajui oleh orang kenamaan (VIP) terdiri seorang berpangkat Tan Sri dan dua lagi Datuk itu bertindak berperanan sebagai ‘Kingpin’ dan kini berada dalam radar Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak beberapa tahun lalu.

Malah, salah seorang datuk tersebut juga dipercayai mempunyai rekod jenayah dan pernah diambil tindakan pada 2010 kerana terlibat dalam aktiviti penyeludupan dadah.

Bukan itu sahaja, ketiga-tiga VIP tersebut juga menggunakan status mereka untuk menjalinkan hubungan dengan individu berpengaruh bagi ‘menghalalkan’ wang haram hasil daripada aktiviti jenayah tersebut.

Memberitahu Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, hasil keuntungan aktiviti dadah sebelum ini digunakan sebagai modal membuka perniagaan dalam sektor perhotelan, perkapalan, pengangkutan dan besi bagi mengelak kegiatan itu dihidu pihak berkuasa.

Malah, mereka juga dikesan menggunakan syarikat itu untuk menyeludup bekalan dadah daripada sindiket yang berpangkalan di negara jiran.

Dadah itu kemudian disimpan di beberapa stor penyimpanan di beberapa lokasi seluruh Malaysia sebelum diedarkan ke negara ketiga.

“Bagi melancarkan proses itu, mereka tidak menggunakan kakitangan syarikat sebaliknya mengupah ahli sindiket lain bagi mengurus dan menjalankan aktiviti pengedaran dadah.

“Terdapat sindiket lain yang menjadi ejen bawahan kepada mereka bagi menguruskan penghantaran dadah ke Indonesia, Taiwan, Hong Kong dan Australia dengan menggunakan kargo udara dan khidmat perkapalan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Mengulas lebih lanjut, Razarudin memberitahu, kes rampasan 12 tan kokain bernilai RM2.4 bilion yang disembunyikan dalam arang batu di Pulau Pinang pada 2019 turut mempunyai kaitan dengan mereka.

“Amat penting bagi polis ketika ini untuk mengumpulkan bukti kukuh lebih banyak sebelum tangkapan dilaksanakan bagi memastikan ketiga-tiga dalang utama ini tidak terlepas menerima hukuman sewajarnya,” jelasnya.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti dalang utama sindiket penyeludupan dadah di negara ini yang berselindung di sebalik status Tan Sri dan Datuk.

Abdul Hamid berkata beliau akan memastikan individu berstatus Tan Sri dan Datuk itu dipenjarakan atau dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) sebaik pembabitan mereka dapat dibuktikan oleh JSJN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN