SETIU: Sistem perparitan dan pembentungan yang ‘usang’ menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk dan penternak kolam ikan serta udang di Kampung Fikri, di sini, kerana mengakibatkan limpahan air.
Seorang penternak ikan kolam, Mokhtar Ali, 65, berkata, saluran pembentungan yang dibina sejak 40 tahun lalu kini menghadapi kerosakan dan bahagian tanah di sekelilingnya turut mengalami hakisan.
“Sistem pembentungan ini merupakan satu-satunya yang menjadi laluan keluar dan masuk air dari tali air sepanjang kira-kira dua kilometer ke sungai berhampiran, yang mana di sebelahnya terletak kolam ikan serta udang milik 37 penternak di Kampung Fikri ini.
“Pembentung itu bukan hanya ‘rosak’ tetapi ia tidak mampu menampung jumlah air yang banyak terutama ketika musim banjir sehingga menyebabkan limpahan air ke kolam ikan dan udang penduduk,” katanya ketika ditemui di Kampung Fikri.
Kata Mokhtar, keadaan itu berlarutan sekian lama namun semakin parah sejak lima tahun kebelakangan ini.
Menurutnya, ia menyebabkan penternak di kawasan itu terpaksa menanggung kerugian ratusan ribu ringgit kerana ikan dan udang peliharaan mereka ‘terlepas’ dari kolam apabila air dari tali air melimpah masuk.
“Banyak saluran dan aliran air baharu yang dibina di kawasan pertanian berdekatan turut dialirkan masuk ke tali air ini menyebabkan paras air sentiasa meningkat,” katanya.
Seorang lagi penternak, Zawawi Muda, 51, berkata, selain saluran pembentung yang semakin sempit, laluan di atasnya turut menjadi mendap dan dikhuatiri runtuh bila-bila masa.
“Kita bimbang jalan dia atas pembentung ini runtuh akibat mendapan selain ia merupakan laluan keluar masuk lori untuk mengambil hasil kolam. Selain itu, jalan yang sebelum ini luas kini dikatakan hanya tinggal seluas kira-kira 3.6 meter di mana bahagian bawahnya sering terhakis olah aliran air,” katanya. – UTUSAN










