BERMULA dengan minat di asrama, Muhammad Haziq Ziad, 23, berjaya mengasaskan perniagaan gunting rambut dengan purata jualan mencecah RM30,000 sebulan.
Sodokosong Barbershop yang terletak di Kampung Batu Muda, Sentul itu turut menawarkan pelbagai servis rawatan rambut untuk lelaki.
Kedainya yang mula beroperasi sejak 2020 hingga kini telah mempunyai enam orang tukang gunting rambut sepenuh masa.
“Saya mula gunting rambut kawan-kawan di asrama sebab minat, kemudian saya nampak potensi bidang ini untuk ubah hidup saya.
“Pada tahun 2019, saya menyertai Joe’s Barberschool di Bangi untuk memantapkan kemahiran sebelum menubuhkan Sodokosong Barbershop pada tahun berikutnya.
“Saya merupakan anak bongsu daripada tiga beradik dan selepas pemergian bapa, Ziad Abdullah, ia menjadi titik tolak permulaan kepada minat dalam bidang ini dan tekad ingin membina kehidupan yang lebih baik.
“Saya mahu pastikan ibu saya bangga dan senyum melihat pencapaian saya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sodokosong Barbershop bukan kedai gunting biasa tetapi ia turut menawarkan servis warna rambut, rawatan keratin, rawatan kulit kepala, meluruskan rambut (rebonding) dan melembutkan rambut (relaxing).
Kedai ini juga menghasilkan produk jenama sendiri iaitu Hazzka Serum, khusus untuk penjagaan rambut.
Menurutnya, sambutan pelanggan semakin hari semakin meningkat, malah ada pelanggan tetap dari luar Lembah Klang.
“Kami antara barber Melayu terawal di kawasan Batu Muda dan harga servis kami pun antara yang paling mampu milik.
“Namun, permulaan tidak mudah apabila perniagaan kami terpaksa berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.
“Barber merupakan antara industri paling akhir dibenarkan beroperasi semula, jadi saya terpaksa buat servis rumah ke rumah ketika itu,” ujarnya.
Selain cabaran operasi, Haziq turut berdepan permintaan pelanggan yang mahukan pelbagai gaya rambut moden.
“Kami kena tahu semua jenis potongan dan tahu beri nasihat kalau pelanggan minta gaya yang tak sesuai dengan bentuk rambut mereka,” jelasnya.
Bakat Haziq tidak terhad di kedai semata-mata kerana dirinya turut dikenali dalam industri hiburan tempatan.
“Saya pernah dijemput menggayakan rambut artis untuk rancangan seperti Gegar Vaganza All Star, The Masked Singer Malaysia, Innovathon dan The Hardest Singing Show.
“Saya juga pernah menggayakan rambut Niezam Zaidi untuk drama ‘Dia Bukan Syurga’ yang ditayangkan di Astro Ria.
“Dalam pada itu, saya turut terlibat sebagai penggaya rambut untuk Pertunjukkan Fesyen SVG dan menyertai produksi belakang tabir selepas diperkenalkan oleh rakan, Aman Khal menerusi program anjuran Majlis Amanah Rakyat (Mara).
“Aman Khal antara orang yang percaya pada kerja saya dan banyak bantu saya masuk dunia belakang tabir,” ujar Haziq.
Jenama Sodokosong turut mengeluarkan baju edisi khas yang dijual setiap tahun dengan purata 500 helai terjual bagi setiap pengeluaran.
Perniagaan tersebut juga telah menyertai Barber Expo Asia 2023 untuk mengetengahkan produk dan produk jualan tersendiri.
Haziq kini merancang membuka cawangan kedua dalam masa terdekat serta ingin membina akademi barber dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
“Harapan saya ialah satu hari nanti nama Sodokosong dikenali di seluruh Malaysia dan mahu melihat industri barber dipandang tinggi serta diminati oleh lebih ramai belia. Saya nak lahirkan lebih banyak bakat baru dalam bidang ini,” katanya.
Kepada anak muda yang ingin menceburi bidang ini, Haziq menasihatkan agar menguasai kemahiran terlebih dahulu.
“Setiap hari kena sentiasa menaik taraf diri dan jangan mudah putus asa. Jadikan setiap cabaran sebagai pengalaman.
“Saya turut berterima kasih kepada isterinya yang sentiasa menyokong serta keluarga dan rakan-rakan yang percaya kepada visi saya,” ujarnya.
Dengan semangat, bakat dan kerja keras, Sodokosong bukan sekadar kedai gunting rambut, ia simbol perubahan hidup anak muda dari kampung yang kini membina jenamanya sendiri.










