PENDANG: Seorang penjual ubi kayu rebus dari Kubang Pasu membuktikan makanan tradisional masyarakat Kedah dan Perlis masih diminati apabila berjaya meraih pendapatan mencecah RM1,000 sehari hasil jualannya.
Muhammad Sobri Saad, 51, yang lebih 15 tahun berniaga di pekan sehari sekitar negeri ini dan Perlis berkata, ubi kayu rebus buatannya turut digemari pelanggan dari seluruh negara.
“Saya berniaga di empat lokasi pasar sehari, Pekan Nat Pokok Getah di Perlis, Pasar Kemboja di sini, serta Sungai Korok dan Kodiang. Dulu saya hanya mampu jual sekitar empat kilogram (kg) ubi kayu, tetapi kini saya jual sehingga 50 hingga 100kg khususnya di Pekan Nat Pokok Getah,” katanya ketika ditemui di Pasar Kemboja, semalam.
Menurut Muhammad Sobri, peningkatan jualan itu didorong oleh kesedaran masyarakat terhadap khasiat ubi kayu serta nilai nostalgia makanan tradisional tersebut.
“Ramai pelanggan kata mereka terkenang zaman dahulu, terutama sewaktu zaman Pendudukan Jepun, ketika itu ubi kayu menjadi makanan pengganti beras. Ada yang sanggup memandu dari Kuala Lumpur semata-mata untuk mendapatkan ubi rebus ini,” ujarnya.
Jelas beliau, ubi kayu rebus itu dimasak segar setiap pagi oleh isterinya, Nor Zuraini Ahmad, 40, bagi mengekalkan rasa serta tekstur terbaik.
“Kami tidak guna pewarna atau perasa tambahan. Hanya ubi kayu segar, kelapa muda parut dan sedikit garam. Itu sahaja. Rahsianya ialah kesederhanaan,” katanya.
Tambahnya, walaupun ramai memandang rendah terhadap jualan makanan kampung, namun hasilnya cukup untuk menyara keluarga dan membesarkan anak-anak.
“Ramai anggap jual ubi kayu tak boleh hidup, tapi inilah punca rezeki kami. Perniagaan ini bukan sahaja bertahan, malah berkembang. Kadang-kadang dalam dua tiga jam sahaja semua habis dijual,” katanya.
Selain ubi kayu rebus, Muhammad Sobri turut menjual makanan tradisional lain seperti emping kelapa, jagung rebus kelapa dan sira ubi kayu.
“Harga hanya RM4 sebungkus dan kalau campur RM6 sahaja. Yang buat saya teruja, bukan orang tua sahaja yang membeli, malah anak-anak muda pun minat, mungkin sebab mereka nak rasa makanan zaman dahulu,” katanya.
Sementara itu, seorang pelanggan tetap, Abu Hanapiah Ali, 68, yang juga seorang pesawah berkata, dia tidak pernah ketinggalan membeli ubi kayu rebus setiap kali ke pasar.
“Nak buat sendiri memang renyah (leceh) jadi saya beli sahaja. Ubi kayu ini buat saya teringat zaman susah dulu, masa beras tak cukup. Dulu tanam pokok ubi kayu di halaman rumah, tapi sekarang susah nak dapat. Jadi beli sahajalah,” katanya.-UTUSAN










