Program kampung angkat perlu lebih telus kepada rakyat

Program kampung angkat perlu lebih telus kepada rakyat

KITA perlukan pembangunan yang benar-benar menyentuh kehidupan penduduk kampung dan bukan projek perasmian semata-mata.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PROGRAM Kampung Angkat Madani melibatkan peruntukan besar, iaitu kira-kira RM200 juta diperuntukkan untuk 200 kampung. Setiap kampung, katanya, menerima sehingga RM2.5 juta bagi projek naik taraf kemudahan asas, pembinaan dewan, lampu solar dan seumpamanya.

Namun, di sebalik angka gah ini, rakyat wajar bertanya: Mana impaknya? Dan lebih penting bagaimana kampung-kampung ini dipilih?

Lebih merisaukan, tiada ketelusan tentang kriteria pemilihan kampung. Di manakah senarai penuh kampung yang dipertimbangkan? Apakah proses penilaian? Siapa yang duduk dalam jawatankuasa pemilih? Tiada jawapan jelas yang diumumkan kepada rakyat.

Tanpa pendedahan kriteria dan tanpa penglibatan komuniti dalam proses ini, bagaimana kita mahu percaya bahawa pemilihan kampung-kampung ini berdasarkan keperluan sebenar dan bukan semata-mata kerana mudah bagi seorang YB untuk turun padang memegang mikrofon di kawasan sendiri?

Satu lagi persoalan besar ialah soal pemantauan dan keberkesanan. Sehingga kini, tiada laporan terperinci yang boleh diakses umum mengenai status projek-projek ini. Selepas majlis perasmian penuh glamor, lengkap dengan plak dan bergambar bersama VIP, apakah yang berlaku? Siapakah yang memantau kemajuan projek? Adakah terdapat laporan berkala untuk diteliti oleh rakyat?

Rakyat tidak mahu program yang sekadar jadi hiasan dalam media sosial menteri. Kita perlukan pembangunan yang benar-benar menyentuh kehidupan penduduk kampung dan bukan projek perasmian semata-mata.

Saya menyeru agar kerajaan tampil lebih telus. Umumkan senarai penuh kampung angkat, dedahkan kriteria pemilihan, serta bentangkan laporan kemajuan secara terbuka. Jika tidak, Program Kampung Angkat Madani ini hanya akan dikenang sebagai “Kampung Angkut VIP” — tempat menteri datang ‘angkat diri’ di pentas politik, bukan mengangkat rakyat. – UTUSAN

ROSLAN SALAHUDDIN
Kajang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×