Jangan mudah terpedaya pakej umrah, haji tidak masuk akal

Jangan mudah terpedaya pakej umrah, haji tidak masuk akal

MOHAMAD Taha Hassan (tengah) bersama para jemaah ketika pelepasan kumpulan pertama jemaah umrah Andalusia bagi musim 1447H Hijrah ke Tanah Suci di KLIA Terminal 1. awal pagi semalam - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Syarikat pengendali pakej haji dan umrah, Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran tajaan umrah dan haji yang terlalu murah dan tidak masuk akal.

Pengurus Kanan (Agama dan Bimbingan) Andalusia, Moha­mad Taha Hassan berkata, bakal jemaah juga disaran berurusan dengan syarikat pelancongan berlesen di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi memastikan status syarikat tersebut adalah aktif.

Beliau berkata, pihaknya akui ada banyak kes penipuan umrah dan haji, malah ada juga yang mengumpan mangsa kononnya pakej ditawarkan dikendalikan syarikat pengendali umrah dan haji berdaftar.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kredibiliti sesebuah syarikat pelancongan dapat dilihat menerusi keyakinan pelanggan terhadap syarikat tersebut apabila mereka kembali semula berurusan dengan syarikat pelanco­ngan tersebut.

“Kami juga ingin menasihati orang ramai untuk tidak membuat sebarang bayaran kepada akaun individu sebaliknya semua bayaran hendaklah dibuat terus kepada akaun syarikat bagi mengelak ditipu,” katanya ditemui pada majlis pelepasan kumpulan pertama jemaah umrah 1447H Andalusia ke Tanah Suci malam semalam.

Mengulas lanjut, beliau me­ngakui pihaknya pernah didekati individu kononnya mahu berpe­ranan sebagai ejen dan orang te­ngah bagi urusan umrah dan haji.

Sebelum ini, seramai 64 individu berputih mata apabila kerugian keseluruhan lebih RM2 juta selepas mendakwa ditipu tawaran sindiket haji infak yang berpangkalan di Sarawak.

Lebih memeranjatkan, mang­sa diperdaya dengan tawaran haji mujamalah serta tawaran pakej haji mewah bernilai RM120,000 setiap seorang di bawah sebuah syarikat pengelola jemaah haji (PJH) tempatan.

Dalam pada itu, Andalusia melepaskan kumpulan pertama 41 jemaah jemaah umrah mereka bagi musim 1447 Hijrah ke Ta­nah Suci awal pagi semalam yang berlepas dengan pesawat Saudi Arabia kira-kira pukul 2 pagi.

Mohamad Taha berkata, kum­pulan pertama jemaah um­rah itu bertuah dapat merasai suasana musim haji kerana masih ramai lagi jemaah haji berada di tanah suci.

Beliau berkata, mereka akan berada selama 10 hari di Mekah dan tiga hari di Madinah di mana jemaah akan dibawa terlebih dahulu menziarahi Kota Taif sebelum mengerjakan umrah.

“Bagi kumpulan pertama ini, kami menggunakan visa pelancong kerana sistem visa umrah masih belum dibuka lagi, kerana sistem visa umrah akan dibuka pada 1 Muharam 1447H,” katanya.

Mohamad Taha berkata, syarikat telah menerbangkan 50,434 jemaah bagi musim umrah yang lalu dan menyasarkan mengendalikan seramai 80,000 jemaah bagi musim ini.

Katanya, bagi musim ini, Andalusia menawarkan pakej umrah RM5,900 untuk pendaftaran terawal selain diskaun RM200 bagi pendaftaran setiap 10 jemaah dalam resit yang sama sehingga 31 Disember ini.

“Kami juga menawarkan satu pakej umrah percuma bagi setiap 25 jemaah yang mendaftar bersama dalam satu resit dan berpeluang menaiki bas dan penerbangan sama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini