Indahnya panaroma di Pulau Sibu.
Berkesempatan menjejakkan kaki ke situ baru-baru ini membuatkan saya terpaku.
Ia bagaikan keindahan yang tidak terusik, dek kerana pantainya yang dibaluti pasir putih dan bersih.
Pulau yang terletak di Mersing, Johor itu menjadi tarikan ramai pelancong yang ingin menerokai misteri keindahan alam semula jadinya, termasuk lautan di sekeliling.
Tidak berlebihan jika dikatakan ia lokasi sempurna untuk lari sebentar daripada hiruk pikuk kota.
Panorama pulau itu bagaikan sebuah lukisan yang membuatkan pengunjung tenggelam dalam keajaiban flora mahupun fauna.
menginap dalam suasana rimba
Saya memilih Resort Rimba untuk menginap bagi memudahkan kami berulang-alik melakukan aktiviti di pulau itu selama dua hari.
Setiap chalet yang dibina berasaskan konsep mesra alam, lengkap dengan dekorasi elemen-elemen kayu manakala dinding dan atapnya pula diperbuat daripada daun rumbia dan nipah.
Sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam chalet, kami menyedari tiada penghawa dingin yang disediakan di dalam bilik.
Pintu dan jendelanya pula hanya dilitupi kanvas tebal, bukan cermin mahupun dinding konkrit seperti kebiasaan.
Namun, di situlah uniknya pengalaman baharu yang benar-benar membawa kami menyelami kehidupan sebenar di tengah hutan rimba, jauh daripada keselesaan moden.
Setiap hembusan bayu, desiran dedaun dan alunan simfoni alam menjadi penghawa dingin semula jadi yang membuai kami tidur lena.
Makanan yang disediakan juga tidak kurang hebatnya.
Terdapat pelbagai juadah disajikan antaranya, kambing bakar aneka makanan barat yang bukan sahaja mengenyangkan perut, tetapi membangkitkan selera kami yang sedang ‘healing’.
Tolak pembangunan
Sebagai pembuka tirai aktiviti, kami membuat jelajah untuk melihat perkampungan-perkampungan kecil di Pulau Sibu.
Walaupun mentari kian meninggi dan membakar wajah dengan cahaya teriknya, kami tetap bersemangat, menanti bot di pesisir pantai berhampiran Rimba Resort yang bakal membawa ke lokasi yang dituju.
Semakin laju bot meluncur mengharungi ombak laut biru nan luas, semakin bersemangat rombongan kami melaung keterujaan sambil mata tidak lepas memandang panorama indah sekeliling.
Setibanya di Pulau Sibu, pohon-pohon kelapa dan pokok paya bakau melambai lembut ditiup bayu tropika seperti menyambut kedatangan kami.
Di pulau tersebut, meskipun hanya terdapat beberapa buah kampung, kehidupan di sana seolah-olah terhenti di zaman dahulu, kekal damai dan tidak terusik oleh arus pemodenan.
Kami dipimpin oleh salah seorang penduduk lama di pulau tersebut, mesra disapa Pok Teh.
Katanya, penduduk kampung masih mengekalkan tradisi lama dengan tidak melakukan pembangunan yang boleh merosakkan alam semula jadi.
Kami difahamkan kurang daripada 200 penduduk sahaja yang masih menetap di pulau tersebut ekoran ramai yang sudah berpindah ke kawasan bandar.
Kemudian, kami dibawa ke sebuah rumah, satu-satunya keluarga yang masih mengekalkan perusahaan dan pembuatan minyak kelapa dara secara tradisional.
Saat melihat proses pembuatan minyak berharga itu di depan mata, saya mula memahami proses pneghasilannya memerlukan kesabaran, ketelitian dan ketekunan yang tinggi.
Kami turut berpeluang mengupas kulit kelapa tua menggunakan peralatan khas. Walaupun nampak mudah, ia memerlukan tenaga dan teknik yang betul untuk menanggalkan sabutnya.
Bermacam-macam ragam yang mencuit hati. Ada yang tersilap gaya membuatkan kelapanya tercampak dan ada yang gelak sakan melihat aksi masing-masing yang huru-hara.
Selain itu, kami juga berpeluang kukur kelapa untuk mendapatkan santan.
Namun, detik paling tidak dapat dilupakan ketika saya cuba memarut kelapa buat kali pertama dalam hidup.
Isi kelapa yang diparut tidak banyak keluar, tetapi angan saya pula hampir tergelincir dan bunyinya lebih kuat daripada hasil, membuatkan ahli rombongan yang lain tidak henti-henti berdekah.
Pendakian mencabar Bukit Pasu
Laluan menuju ke Bukit Pasu agak sempit dan berakar, menelusuri celah-celah hutan dara.
Suara unggas dan gemersik daun mencipta muzik di waktu petang yang menenangkan itu.
Pendakian mengambil masa kira-kira 45 minit, bergantung pada kelajuan dan stamina masing-masing.
Lokasi pendakian itu bukan sekadar untuk menikmati matahari terbit, tetapi bertujuan menjejak tempat munculnya dugong, si ‘lembu laut’ yang jarang sekali kelihatan.
Sampai di puncak, kami disambut dengan pemandangan 360 darjah Laut China Selatan yang luas terbentang.
Sambil menunjuk arah selatan pulau, pengiring pendakian berkata, di kawasan laut cetek yang jernih itulah titik panas tempat dugong sering muncul

di bukit pasu.
Katanya, masyarakat tempatan menyebut kawasan itu sebagai ‘ padang lamun’ iaitu kawasan rumput laut yang menjadi habitat utama dugong.
Kadangkala, ketika air tenang dan cuaca baik, boleh nampak kelibatnya muncul ke permukaan untuk bernafas.
Tetapi, kami tidak berkesempatan melihat makhluk tersebut pada hari itu.
Namun, cabaran sebenar bukan ketika mendaki, tetapi ketika menuruni bukit.
Laluan curam dan licin, dengan tanah merah dan daun basah, menjadikan setiap langkah perlu berhati-hati.
Ada ketika kami perlu berpaut pada akar pokok atau turun secara mengiring.
Jika tersilap langkah sedikit sahaja boleh membawa kepada tergelincir ke lereng yang curam.
Jantung berdegup lebih laju, bukan kerana penat, tapi kerana setiap inci laluan menuntut tumpuan dan kawalan tubuh.
Kami saling membantu, bertukar-tukar tempat untuk beri laluan pada yang lebih perlahan.
Suasana yang sebelumnya tenang, kini penuh dengan tumpuan dan strategi.
Sampai sahaja di kaki bukit, kelapa-kelapa muda yang masih segar sudah pun menanti.
Tanpa menunggu lama, kami meneguk air buah serba guna itu dengan sangat laju, kerana rasa dahaga selepas pendakian, apatah lagi bekalan air yang dibawa sudah pun habis.
Selepas melepaskan lelah, kami dijemput pula ke sebuah rumah berdekatan untuk menikmati minum petang.
Hidangan ringkas seperti kuih-muih tradisional dan teh panas yang dihidang menambahkan lagi rasa syukur dan nyaman di hati saya.
Orang kampung semuanya mesra dan terbuka menyambut kehadiran tetamu, seolah-olah sudah lama kenal.
Aktiviti selam di Pulau Kukus
Pada hari kedua, kami tetap bersemangat melakukan selam paras permukaan di Pulau Kukus.
Sebelum itu, kami melakukan aktiviti memerhati dugong di kawasan berhampiran Pulau Sibu, namun sedikit mengecewakan, ekoran mamalia itu tidak banyak memunculkan diri di permukaan laut.
Dengan baju keselamatan dan snorkel, kami menyelam ringan di kawasan cetek, menikmati keindahan karang dan ikan-ikan kecil yang berenang bebas.
Suasana bawah laut sungguh menenangkan.
Namun, kegembiraan itu tidak lama.
Awan mula berarak kelabu, dan hujan turun tiba-tiba.
Aktiviti selam terpaksa dihentikan demi keselamatan. Kami diarahkan untuk naik ke pantai dengan segera.
Menariknya, kami jumpa satu aktiviti baharu yang langsung tidak dirancang iaitu mengorek alur pasir dengan hanya menggunakan tangan.
Air hujan yang bertakung di atas pantai mula membentuk kolam kecil dan kami bergotong-royong menggali parit kecil untuk mengalirkannya kembali ke laut.
Kedengaran seperti aktiviti kanak-kanak, tetapi itulah yang menjadikan saat itu begitu menyeronokkan.
Oleh kerana hujan masih lagi turun dengan renyai-renyai, hasrat kami untuk makan tengah hari sambil berkelah di pulau tidak kesampaian.
Ketua pengiring mencadangkan kami makan di dalam bot sahaja.
Maka, kami pun naik semula ke bot, membuka bekalan yang dibawa.
Walaupun sempit dan sederhana, suasananya tetap meriah.
Lauk-pauk sederhana rasa seperti hidangan istimewa, mungkin kerana dimakan bersama-sama sambil terasa bot dibuai kecil oleh ombak.-UTUSAN










