PETALING JAYA: Seorang penyanyi rap tempatan dan dua rakannya ditahan pihak berkuasa Laos kerana disyaki cuba menyeludup 103 bungkusan ganja dianggarkan seberat 86 kilogram, bulan lalu.
Menurut laporan media tempatan, The Laotian Times, penyanyi itu yang juga anggota sebuah kumpulan rap tempatan dan dua rakannya, ditahan pada 27 Mei lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Wattay, Laos selepas disyaki cuba menyeludup dadah tersebut ke Jerman.
Pemangku Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mat Zani @ Mohd. Salahuddin Che Ali ketika dihubungi mengesahkan penahanan tiga rakyat Malaysia terbabit.
Beliau berkata, ketiga-tiga lelaki berusia antara 25 hingga 29 tahun itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Laos selepas tiba di negara terbabit menaiki penerbangan Thai Airways.
Katanya, pemeriksaan mendapati ketiga-tiga mereka meninggalkan tanah air pada 22 Mei lalu.
“Bagaimanapun kami sedang menyiasat ketiga-tiga suspek menyeludup ganja dari negara ini atau Thailand. Mereka kini dalam tahanan pihak berkuasa Laos. Kami sedang mengumpul maklumat dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.
Menurut laporan media tempatan, mereka ditahan pihak berkuasa yang menjalankan pemeriksaan rutin di lapangan terbang berkenaan.
“Difahamkan, suspek sedang bersiap sedia untuk menaiki penerbangan Thai Airways menuju ke Jerman, destinasi dadah tersebut dipercayai akan dihantar.
“Hasil pemeriksaan ke atas enam beg milik suspek, pihak berkuasa menemukan 103 bungkusan ganja dianggarkan berat keseluruhan sebanyak 86 kilogram yang disembunyikan di dalam bagasi mereka,” menurut laporan itu.
Pihak berkuasa tempatan mengesahkan ketiga-tiga suspek kini ditahan dan mereka akan didakwa mengikut undang-undang Laos selepas siasatan selesai dijalankan, katanya.
“Rampasan tersebut dibuat susulan beberapa insiden penyeludupan dadah yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Wattay kebelakangan ini,” tambah laporan itu.
Sementara itu, Pengurusan kepada kumpulan yang dianggotai oleh penyanyi rap berkenaan ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, pihaknya tidak dapat memberikan komen pada waktu ini.
“Pihak kami akan memaklumkan perkembangan terkini kes tersebut dalam masa terdekat,” katanya. – UTUSAN










