Keselamatan longgar punca KLIA mudah bolos

Keselamatan longgar punca KLIA mudah bolos

KEADAAN KLIA2 yang sesak dengan orang ramai yang ingin pulang ke kampung halaman dengan memilih mod pengangkutan udara. – UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sistem keselamatan dan kawalan imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang longgar dikenal pasti sebagai antara punca utama warga asing mudah menyelinap masuk tanpa tapisan keselamatan ketat.

Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Shazwanis Shukri berkata, kelemahan itu berpunca daripada kegagalan mengemas kini sistem sedia ada secara menyeluruh termasuk penggunaan teknologi lama.

Katanya, negara tidak lagi boleh bergantung kepada kaedah konvensional atau operasi tangkapan berskala besar semata-mata, sebaliknya memerlukan rombakan total sistem kemasukan di semua pintu masuk antarabangsa.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sistem keselamatan di pintu masuk utama negara seperti KLIA perlu dikemas kini dari masa ke masa agar sentiasa berada di tahap yang efisien dan terkini dalam menangani ancaman.

“Penyelesaian kepada isu kemasukan warga asing secara tidak sah ke negara ini memerlukan pendekatan yang menyeluruh, merangkumi aspek penguatkuasaan, dasar, teknologi dan kerjasama antara negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pada Isnin lalu, akhbar ini melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesyorkan agar ke­lemahan dasar dan sistem di pintu masuk negara khususnya KLIA dita­ngani secara berstruktur.

Dapatan awal SPRM mendapati, kegiatan counter setting berlaku di pintu masuk negara berpunca daripada kelemahan struktur dasar dan sistem sedia ada yang telah lama menjadi ruang kepada aktiviti penipuan serta salah guna kuasa.

Menurut Shazwanis, integriti pegawai penguat kuasa perlu menjadi agenda utama reformasi tersebut kerana usaha membaiki sistem terus gagal sekiranya budaya rasuah tidak dibanteras dengan tegas.

“Daripada perspektif akademik dan pentadbiran keselamatan, jelas bahawa isu ini bukan tidak mempunyai jalan penyelesaian, tetapi penyelesaiannya menuntut keberanian politik, reformasi institusi serta keazaman yang konsisten dalam pelaksanaan.

“Keberkesanan mana-mana dasar akan terbantut jika elemen rasuah masih berleluasa dalam agensi penguatkuasaan, justeru itu ia perlu ditangani sekiranya mahu memastikan sempadan negara selamat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini