Laman web sekolah perlu sentiasa aktif

Laman web sekolah perlu sentiasa aktif

LAMAN web yang sentiasa dikemaskini akan memudahkan orang ramai mencari informasi tentang sekolah dan aktiviti yang diadakan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pengamatan umum mendapati banyak laman web sekolah tidak dikemaskini secara berkala. Halaman utama masih menayangkan berita atau pengumuman yang sudah berbulan atau bahkan bertahun lamanya. Ada laman web yang kelihatan ‘mati’, dengan pautan-pautan yang rosak dan bahan bacaan yang tidak relevan lagi. Keadaan ini bukan sahaja memberi imej yang kurang profesional terhadap pihak sekolah, malah menyebabkan fungsi komunikasi dan penyampaian maklumat terganggu.

Laman web yang dikemaskini dengan berita program sekolah, kejayaan pelajar, makluman peperiksaan, jadual aktiviti dan bahan pengajaran mampu menarik perhatian ibu bapa dan komuniti untuk lebih terlibat dengan perkembangan sekolah.

Keaktifan laman web sekolah juga penting dalam mendukung pelaksanaan inisiatif digital Kementerian Pendidikan seperti Sistem Pengurusan Pembelajaran (SPP) serta Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Sekolah yang menggunakan laman web sebagai platform memuat naik bahan PdPR, pautan Google Meet atau rakaman video pembelajaran menunjukkan kreativiti dan keberkesanan dalam menggunakan teknologi sedia ada untuk manfaat pelajar.

Namun, keaktifan laman web tidak datang dengan sendiri. Ia memerlukan pasukan pengurusan kandungan yang komited dan celik teknologi. Guru yang dilantik sebagai penyelaras laman web perlu diberi latihan dan masa untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut.

Dalam konteks promosi sekolah, laman web berfungsi sebagai medium pemasaran yang efektif. Sekolah berasrama, sekolah swasta atau sekolah dengan program khas boleh menggunakan laman web untuk menarik minat kemasukan pelajar baharu. Paparan gambar, video, dan testimoni yang menarik akan meninggalkan kesan yang positif kepada bakal pelajar dan ibu bapa yang membuat carian di internet. – UTUSAN

AZIZUL ASYRAF MD HELMI
SMK Dato Sulaiman
Parit Sulong

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×