MEKAH: “Esok takut Allah SWT tanya kenapa tidak pergi (haji), kita ada semua (harta) tetapi tidak pergi. Takutlah, Allah SWT tanya, kita tiada peguam bela di sana. Itulah saya sanggup jual rumah.”
Demikian kata peniaga martabak ‘megi’ tular, Yahya Che An, 71, mengenai keputusannya menjual sebuah rumah pada harga RM100,000 untuk menunaikan haji tahun ini.
Yahya berkata, dia bersyukur apabila dapat menyelesaikan nafar thani dalam usia yang agak lanjut selain mempunyai sedikit isu kesihatan serta kesakitan di bahagian lutut.
“Saya jual rumah untuk buat haji. Rumah ada dua buah, saya jual sebuah kepada anak dengan harga RM100,000 bahagi dua dengan isteri, Nor Aini Abdullah, 66. Beritahu isteri kita sudah tiada apa-apa dalam dunia.
“Kita buat amal ibadat rukun Islam yang kelima. Duit titik peluh beli rumah, sedih nak tinggal tetapi saya sudah dapat rukun Islam kelima, syukur sangat-sangat dah,” ujar Yahya.
Beliau berkata, dugaan paling mencabar adalah ketika di Mina apabila terpaksa beratur panjang untuk menggunakan tandas dengan keadaan kesihatan diri serta faktor usia.
“Bagi ibadah melontar saya minta anak buah tolong. Saya dinasihatkan jangan pergi kerana cuaca panas mencecah 42 darjah Celsius. kita orang tua umur pun sudah 70 lebih.
“Alhamdulillah, tak boleh kata apa-apa. Rasa sedih nak tinggalkan Mekah. Kami berdua bersyukur Allah jaga kami baik-baik. Tak dapat bayangkan. Ini kali terakhir kot (tunaikan haji), dengan umur saya ini,” katanya.
Katanya, sebelum ini dia tangguhkan hasrat tunai haji bagi memberi tumpuan membesarkan enam zuriat, namun kini semuanya sudah berjaya. – UTUSAN










