DALAM landskap pendidikan kontemporari, peranan guru mengalami evolusi ketara daripada fungsi tradisional sebagai penyampai ilmu kepada ejen perubahan yang memainkan peranan strategik dalam mereformasikan sistem pendidikan negara.
Sambutan Hari Guru pada 16 Mei lalu memberi ruang untuk merenung kedudukan mulia para pendidik sebagai murabbi (pendidik rohani), muallim (pengajar ilmu), mursyid (pembimbing) dan muaddib (pembentuk adab) yang bertanggungjawab membangunkan potensi insan secara menyeluruh.
Imam al-Ghazali menegaskan seorang pendidik tidak sekadar menyampaikan pengetahuan, tetapi berperanan memandu jiwa pelajar ke arah kebaikan dan pengenalan terhadap Pencipta.
Pandangan ini selari dengan perspektif John Dewey yang menyatakan pendidikan bukanlah sekadar persediaan untuk kehidupan, tetapi merupakan kehidupan itu sendiri.
Kedua-dua pandangan ini menggambarkan dimensi pelbagai aspek peranan guru dalam membentuk masa hadapan masyarakat.
Era Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) menuntut pendekatan pendidikan yang lebih dinamik dan progresif.
Menurut Dekan Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Mohamad Khadafi Rofie, sistem pendidikan masa kini perlu melangkaui penyampaian kandungan akademik semata-mata kepada pembentukkan pelajar yang seimbang dari segi intelek, emosi, nilai dan keupayaan adaptasi.
Pendekatan ini selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang menekankan pembangunan menyeluruh meliputi aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial (JERIS).
Dalam konteks ini, para pendidik memainkan peranan sebagai pemudah cara bagi membimbing pelajar membina pengetahuan menerusi pengalaman secara langsung, perbincangan kritis dan pembelajaran kendiri, sekali gus melahirkan generasi yang mampu menjadi ejen perubahan positif.
Revolusi digital mengubah paradigma pendidikan secara fundamental. Pelaksanaan pembelajaran digital dan hibrid di institusi pengajian seperti SLCP UUM mencerminkan komitmen terhadap pembentukan pendidik yang menguasai pedagogi masa hadapan. Namun, realiti menunjukkan pelaksanaan pendidikan secara digital menghadapi pelbagai cabaran praktikal.
Sebahagian pendidik, terutamanya yang berpengalaman, berdepan dengan kesukaran dalam mengadaptasi platform digital seperti Google Classroom, Kahoot atau aplikasi berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Hal ini demikian kerana, isu infrastruktur seperti kekurangan peranti dan capaian internet yang berkualiti di kawasan pedalaman menjadi salah satu faktor jurang digital semakin melebar.
Malah, situasi ini turut diperburuk oleh masalah tumpuan pelajar semasa sesi pembelajaran dalam talian yang amat mudah terjejas akibat gangguan daripada media sosial. Justeru, para pendidik perlu memiliki tahap kreativiti yang tinggi dalam pendekatan pengajaran bagi memastikan pelajar kekal fokus ketika sesi pembelajaran secara dalam talian.
PENDEKATAN STRATEGIK
Untuk mengatasi cabaran ini, beberapa pendekatan strategik perlu dilaksanakan secara bersepadu. Antaranya, program pembangunan profesional berterusan perlu diperkukuh mengikut model negara maju seperti Finland yang memberikan penekanan terhadap latihan guru berasaskan penyelidikan.
Pemberian autonomi pedagogi kepada guru, sebagaimana diamalkan di Sweden pula, boleh merangsang inovasi pengajaran. Tambahan pula, pengukuhan Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC) mampu memupuk budaya perkongsian amalan terbaik.
Penyediaan infrastruktur dan sokongan teknikal yang mencukupi juga penting untuk memastikan kelancaran pelaksanaan pendidikan digital. Namun, dalam mengejar kemajuan teknologi, aspek nilai dan kemanusiaan tidak boleh diabaikan.
SLCP UUM menekankan kepentingan integrasi teknologi maklumat dan AI sebagai teras pendidikan. Sebagaimana pesanan Saidina Ali, “Didiklah anak-anak sesuai dengan zamannya, kerana mereka hidup di era yang berbeza denganmu.”
Pendidik perlu bijak menyeimbangkan tuntutan teknologi dengan pemeliharaan nilai-nilai murni. Melalui program seperti khidmat masyarakat dan pembelajaran perkhidmatan, SLCP UUM membentuk pendidik yang bukan sahaja berilmu tetapi juga mempunyai integriti dan kepekaan terhadap nilai sosial.
Dalam kerangka pemikiran Islam, peranan para pendidik melangkaui dimensi keduniaan. Surah Luqman, ayat 13 menekankan tanggungjawab pendidik dalam menanamkan akidah yang kukuh sebagai asas pembentukan peribadi muslim. Sebagai contoh, golongan pendidik bidang sastera dan ilmu falsafah perlu menghubungkan konsep pengajaran mereka dengan kebesaran Ilahi, menunjukkan bagaimana hukum alam dan pola ilmu mencerminkan kesempurnaan ciptaan Tuhan.
Pendekatan ini selaras dengan doa Nabi Muhammad SAW yang memohon perlindungan daripada ilmu yang tidak bermanfaat, menekankan kepentingan pendidikan yang menyepadukan ilmu duniawi dan ukhrawi.
Sistem pendidikan sering terhalang oleh birokrasi yang rigid, kurikulum yang terlalu berpusat dan tekanan berlebihan terhadap peperiksaan. Sebagaimana dinyatakan seorang pendidik, penulis dan penceramah dari United Kingdom (UK), Ken Robinson, reformasi pendidikan yang sebenar memerlukan penciptaan sistem baharu, bukan sekadar memperbaiki sistem lama.
Para pendidik selaku watak utama perlu diberikan ruang dan sokongan yang mencukupi untuk menjadi ejen perubahan sebenar, termasuk dalam mempromosikan ekuiti pendidikan terutama di kawasan yang kurang bernasib baik.
Pembentukan generasi masa hadapan memerlukan kerjasama erat semua pihak. Kerajaan perlu menyediakan kerangka dasar dan sumber yang mencukupi sementara masyarakat menyokong pendekatan pendidikan progresif, manakala guru berani meneroka kaedah pedagogi inovatif.
Sebagai pembina peradaban seperti mana yang ditekankan Dr. Yusuf al-Qaradawi, guru perlu terus mempertahankan peranan mulia mereka meskipun berdepan pelbagai cabaran.
Kesimpulannya, reformasi pendidikan yang berkesan memerlukan pendekatan holistik yang menyepadukan kemajuan teknologi dengan kearifan tradisi, inovasi pedagogi dengan pemeliharaan nilai serta keseimbangan antara tuntutan duniawi dan persiapan akhirat.
Guru sebagai penggerak utama transformasi ini layak mendapat pengiktirafan, sokongan dan ruang yang mencukupi untuk melaksanakan amanah mulia mereka.-UTUSAN
DR. Mohd. Ammyrul Ashraf Sairan ialah Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) Universiti Utara Malaysia (UUM).










