PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak mengenakan sekatan rasmi terhadap aktivis dan artis grafik, Fahmi Reza daripada melakukan perjalanan ke luar negara.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain bagaimanapun berkata, nama Fahmi telah dimasukkan ke dalam senarai pemantauan pergerakan bagi tujuan rekod dan rujukan dalam PDRM berikutan siasatan kes terhadapnya yang masih dijalankan.
Kata beliau, senarai itu tidak membawa maksud sekatan sebaliknya merupakan sebagian daripada prosedur pemantauan yang lazim dilaksanakan oleh pihak berkuasa.
“Berikutan itu, terdapat kekeliruan semasa proses semakan di pintu keluar negara pada 7 Jun lalu yang telah menyebabkan arahan sekatan pergerakan dikeluarkan secara tidak tepat.
“Situasi ini sedang diteliti dan langkah sewajarnya akan diambil bagi memperkemaskan prosedur sedia ada,” katanya dalam kenyataan semalam.
Sementara itu, Pejabat Perdana Menteri menerusi kenyataan memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan isu larangan ke luar negara yang dikenakan terhadap Fahmi Reza disemak semula.
Kerajaan Madani menjunjung tinggi kebebasan individu selagi mana ia tidak menjejaskan keselamatan negara atau melanggar undang-undang sedia ada.
“Oleh itu PDRM perlu memberikan penjelasan lanjut mengenai perkara ini. Pejabat Perdana Menteri akan terus memantau perkembangan ini dengan sewajarnya,” katanya.
Kelmarin, Fahmi Reza mendakwa telah dihalang daripada melakukan perjalanan ke luar negara.
Dakwanya, seorang pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) memaklumkan bahawa Ibu Pejabat Polis Bukit Aman tidak memberi kebenaran untuk dirinya meninggalkan negara.
Difahamkan Fahmi Reza mahu menaiki penerbangan ke Singapura bagi menyaksikan persembahan kumpulan muzik punk.
Sebelum ini dia dilaporkan dihalang daripada memasuki Sabah dan dihantar pulang sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu selepas diberikan notis penolakan masuk dan mendakwa arahan itu datang daripada Pejabat Ketua Menteri Sabah.
Sementara itu, Fahmi Reza menerusi kenyataan di akaun media sosialnya semalam memberitahu akan mengheret kerajaan dan pihak berkuasa ke mahkamah susulan isu berkenaan.-UTUSAN.










