PETALING JAYA: Penangguhan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dibuat bukan kerana prasangka atau kebencian, sebaliknya berlandaskan lunas undang-undang, Perlembagaan Persekutuan dan nasihat berkaitan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertimbangan politik serta pandangan UMNO turut diambil kira, namun proses itu perlu dilaksanakan berdasarkan prinsip yang betul.
Katanya, peranannya dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan turut tertakluk kepada undang-undang dan panduan rasmi Peguam Negara.
“Namun, kita tahu juga ini budi bicara wewenang Yang di-Pertuan Agong (Sultan Ibrahim) dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan dan tentunya (Yang di-Pertuan) Agong harus mengambil kira semua faktor,” katanya dalam sidang akhbar di Calicut sebelum mengakhiri lawatan kerja lima hari ke India.
Jumaat lalu, Sultan Ibrahim memberi perkenan supaya permohonan pengampunan Najib ditangguhkan ke mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak.
Perkara itu dimaklumkan menerusi kenyataan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri selepas Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya di Istana Negara pada 11 September lalu.
Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International.
Pada 2 Februari 2024, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuah dan Putrajaya ke-61 bersetuju hukuman penjaranya dikurangkan kepada enam tahun dan denda dikurangkan kepada RM50 juta
Anwar berkata, isu pengampunan Najib tidak wajar dilihat daripada sudut peribadi, sebaliknya dinilai berdasarkan prinsip undang-undang dan tatakelola negara.
“Bagi saya, dalam soal menjalankan tugas ini, kita harus tunduk pada prinsip negara hukum dan apa yang dipersetujui dalam Perlembagaan. Jadi, saya hanya beri pandangan begitu. Saya tidak pernah mengambil sikap yang prasangka ataupun kebencian, tidak.
“Saya tahu kalau jalan mudah apa dia, jalan susah apa dia tetapi saya ambil jalan yang saya anggap betul, ikut lunas hukum dan juga apa yang kita anggap penting dari segi semangat tatakelola dan hukum dalam negara,” katanya.
Sementara itu, dalam sidang akhbar bersama Presiden Maldives, Dr. Mohamed Muizzu di Malé, Anwar berkata, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) berpotensi memperluas operasi antarabangsanya ke Maldives bagi meneroka sumber minyak di republik kepulauan itu.
Perdana Menteri berkata, cadangan berkenaan akan dibincangkan bersama Petronas dengan mengambil kira kemampuan dan pengalaman luas syarikat minyak dan gas negara itu dalam sektor tenaga global.
Menurut Anwar, Petronas kini mempunyai kehadiran kukuh di beberapa negara termasuk Kanada, Turkmenistan, Sudan, Suriname, Peru dan Brazil.
“Mengenai cadangan supaya Petronas meneliti kemungkinan eksplorasi minyak di Maldives, saya perlu membincangkan perkara ini dengan Petronas.
“Saya yakin dengan kekuatan Petronas pada masa ini di seluruh dunia, dari Kanada hingga Turkmenistan dan Sudan serta Suriname, Peru dan Brazil.
“Saya berpandangan tidak menjadi masalah besar untuk melebarkan sayap lebih dekat ke sini, iaitu ke Maldives,” kata beliau.
Anwar mengadakan pertemuan dengan Dr. Mohamed Muizzu selepas diberi sambutan rasmi oleh Maldives National Defence Force dengan diiringi lagu kebangsaan Malaysia dan Maldives.
Anwar turut mencadangkan supaya Suruhanjaya Bersama Malaysia-Maldives bersidang di Kuala Lumpur sebelum penghujung tahun ini sebagai langkah meningkatkan kerjasama. – UTUSAN










