Muhyiddin bebas empat pertuduhan Jana Wibawa

Muhyiddin bebas empat pertuduhan Jana Wibawa

MUHYIDDIN Yassin menghadiri perbicaraan salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram berkaitan projek Jana Wibawa di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam daripada satu tuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan RM200 juta dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan projek Jana Wibawa.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pagoh itu masih berdepan tiga pertuduhan salah guna kedudukan untuk suapan berjumlah RM25.3 juta.

Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan telah membuat keputusan untuk tidak meneruskan kes berkenaan terhadap Muhyiddin, 79. 

Dalam penghakimannya, Ha­kim Noor Ruwena membuat keputusan berkenaan selepas mem­benarkan permohonan pi­hak pembelaan untuk menuntut pelepasan dan pembebasan mengikut Seksyen 254(3) Kanun Prosedur Jenayah.

Keputusan tersebut memberi pelepasan mutlak kepada Ahli Parlimen Pagoh itu daripada empat pertuduhan berkenaan tanpa sebarang risiko didakwa semula pada masa hadapan.

“Pihak pendakwaan tidak mengemukakan sebarang alasan untuk permohonan mereka selain menyatakan tidak berhasrat meneruskan pertuduhan dan menyerahkan kepada budi bicara mahkamah.

“Sehubungan itu, demi kepentingan keadilan, budi bicara mahkamah diimbangi memihak kepada tertuduh untuk dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan-pertuduhan berkenaan,” katanya.

Sebaik hakim mengumumkan keputusan itu, Muhyiddin yang duduk di kandang tertuduh, kelihatan lega disambut dengan sorakan daripada penyokongnya yang berada galeri awam 

Terdahulu, Ahmad Akram memohon perintah daripada mahkamah supaya tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan bagi keempat-empat pertuduhan itu selepas meneliti keseluruhan kedudukan kes.

“Untuk mengelakkan sebarang kekeliruan, permohonan pihak pendakwaan adalah terhad kepada pertuduhan-pertuduhan tersebut sahaja dan tidak melibatkan pertuduhan lain yang masih dihadapi oleh tertuduh,” katanya.

Dengan keputusan itu, Muhyiddin kini hanya berdepan tiga tuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM25.3 juta.

Sebelum ini, Muhyiddin didakwa atas satu pertuduhan menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu untuk suapan berjumlah RM200 juta bagi Bersatu daripada satu entiti di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Beliau turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank dan CIMB Bank milik Bersatu di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 hingga Julai 2022.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×