PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilaporkan merancang untuk menjual portfolio hospital swasta di United Kingdom (UK) yang dianggarkan bernilai sekitar £1.4 bilion (RM8.05 bilion).
Menurut laporan Bloomberg yang memetik sumber, KWSP telah melantik firma hartanah, Knight Frank sebagai ejen bagi menguruskan penjualan 12 hartanah terbabit.
Portfolio hospital berkenaan dibeli pada 2013 oleh sebuah konsortium yang diketuai KWSP pada harga sekitar £700 juta (RM4.02 bilion) dan kini dikendalikan oleh Spire Healthcare Group Plc.
Bagaimanapun, jurucakap KWSP dan Knight Frank enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.
Dalam pada itu, pelaburan dalam hartanah penjagaan kesihatan dilihat semakin mendapat perhatian tahun ini susulan kecenderungan pelabur mencari aset alternatif yang menawarkan pajakan jangka panjang dan terikat kepada indeks inflasi.
Firma ekuiti persendirian, KKR & Co kini bersaing dengan Primary Health Properties Plc untuk mengambil alih Assura Plc, syarikat pemilik premis perubatan di UK termasuk portfolio hospital swasta yang dibeli pada tahun lalu dengan harga sekitar £500 juta (RM2.87 bilion).
Sementara itu, Aedifica SA pada Selasa bersetuju untuk mengambil alih pesaingnya, Cofinimmo, sekali gus mewujudkan amanah pelaburan hartanah (REIT) penjagaan kesihatan dengan nilai aset kasar melebihi €12 bilion (RM69 bilion).
Selain itu, permintaan terhadap penjagaan kesihatan swasta di UK juga meningkat berikutan Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) negara itu bergelut mengurangkan senarai menunggu yang semakin panjang selepas pandemik.
Pada 2023, seramai 4.7 juta individu di UK dilaporkan memiliki insurans kesihatan swasta yang ditawarkan oleh majikan, menurut data Persatuan Insurans British (ABI).
NHS turut menggunakan perkhidmatan hospital swasta bagi menjalankan prosedur tertentu. Menurut laporan LaingBuisson, NHS membelanjakan sebanyak £2.1 bilion (RM12.07 bilion) di hospital swasta pada tahun lalu, selain tambahan £1.5 bilion (RM8.62 bilion) di klinik swasta.
Pada awal tahun ini, kerajaan UK turut mengumumkan rancangan untuk meningkatkan penggunaan hospital swasta bagi melaksanakan lebih banyak janji temu, imbasan dan pembedahan dalam usaha mempercepatkan rawatan pesakit.-UTUSAN










