Pengharaman vape pilih bulu, tindas peniaga bumiputera

Pengharaman vape pilih bulu, tindas peniaga bumiputera

RIDHWAN ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengharaman penjualan vape tanpa pelaksa­naan mekanisme kawal selia jelas disifatkan sebagai tindakan pilih bulu dan menekan pe­ngusaha bumiputera berbanding layanan terhadap industri rokok yang dikawal secara tersusun dan dimonopoli syarikat besar.

Setiausaha Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM), Ridhwan Rosli berkata, tindakan beberapa kerajaan negeri mengharamkan penjualan vape tanpa rangka kerja undang-undang yang komprehensif amat mengecewakan, terutamanya kepada pengusaha kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

“Industri vape tidak pernah diberi pengiktirafan rasmi. Kami tidak mempunyai kod bidang pendaftaran di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), tiada kod cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan tiada permit sah daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami tidak pernah meneri­ma sebarang bantuan kewangan daripada kerajaan mahupun institusi kewangan kerana industri ini dianggap tidak wujud dalam sistem. 

“Tetapi apabila mahu diharamkan, penjualan terus menjadi sasaran tanpa mengambil kira struktur ekonomi dan nasib peniaga,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Johor menjadi negeri pertama mengharamkan penjualan vape sejak tahun 2016, diikuti oleh Kelantan dan Terengganu yang melaksanakan larangan serupa atas faktor kesihatan serta prinsip agama manakala Perlis pula mengikut langkah sama bermula 1 Ogos ini.

Ridhwan berkata, larangan secara mengejut hanya menjejaskan peruncit tempatan, manakala aktiviti pengilangan, pengedaran dan import produk vape oleh syarikat luar negara masih berjalan seperti biasa.

“Apa yang diharamkan hanya penjualan di peringkat runcit. Syarikat dari Amerika Syarikat dan China akan terus beroperasi. Tetapi peniaga kecil, khususnya bumiputera, akan gulung tikar.

“Isu sebenar ialah kegagalan kerajaan mengawal selia industri ini sejak awal. Sekarang bila gagal dikawal, jalan mudah ialah haramkan terus. Ini bukan penyelesaian yang adil,” katanya.

Mengenai penyalahgunaan vape, Ridhwan mengakui ia berlaku, namun menolak persepsi bahawa vape adalah punca utama penagihan dadah.

“Kes penyalahgunaan vape yang dicampur dadah adalah simptom kepada masalah dadah yang lebih besar. DPVM tidak menolak kawal selia, malah kami menyokong penguatkuasaan yang menyeluruh dan adil agar industri ini dapat dikawal secara sah dan tersusun,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini